
Ketuanya Mohd Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata kenyataan Kamarul termasuk petikan verbatim daripada buku dan kenyataan Ahli Parlimen Segambut itu sendiri, sememangnya dikeluarkan berdasarkan fakta yang jelas.
“Ia bukanlah fitnah atau tuduhan melulu, sebaliknya satu analisis berfakta yang bertujuan untuk membangkitkan kesedaran tentang ancaman halus terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Kes ini merupakan medan pembuktian kepada kerajaan PH-BN terhadap prinsip kebebasan bersuara, ketelusan fakta, dan keseriusan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta hak masyarakat Islam di negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Afnan berkata, semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan yang dijamin oleh Perlembagaan apatah lagi ianya disokong oleh fakta-fakta kukuh.
“Justeru, Pemuda PAS memandang serius isu ini, terutamanya apabila ia bertentangan dengan agama Persekutuan dan menyentuh sensitiviti Melayu-Islam sekali gus mengganggu-gugat keharmonian masyarakat di negara ini.
“Kes ini bukan sahaja melibatkan isu individu tetapi juga menyentuh maruah dan kepentingan umat Islam di negara ini,” katanya.
Tambahnya, kegagalan menyaman bekas ketua polis negara Musa Hassan berkait kenyataan ‘negara Kristian’ pada Isnin lalu juga terbukti pengakuan Yeoh sendiri terhadap dakwaan tersebut dan diyakini akan memberikan asas kukuh kepada pembelaan Kamarul nanti.
Dalam saman yang difailkan pada 2022, Yeoh selaku plaintif berkata, Kamarul memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 Mei dan 17 Mei 2017, mendakwa plaintif mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.
Bekas pensyarah itu turut memetik biografi Yeoh memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.
Dalam kenyataan pembelaannya, Kamarul berkata, kedua-dua hantaran Facebook tu tidak berunsur fitnah dan mempunyai alasan yang kuat.
Perbicaraan itu bersambung pada 14 Jan tahun depan.