
Ketua Penerangan Umno Wilayah Persekutuan, Ghulam Muzaffar Gulam Mustakim, berkata adalah pelik apabila pemimpin kedua-dua parti mula bercakap untuk menyokong Najib, apabila mereka sebelum ini berkempen supaya beliau didakwa dan dipenjara.
Ghulam Muzaffar berkata adalah jelas bahawa PAS mahupun Bersatu sebenarnya tidak peduli tentang kes bekas perdana menteri itu, tetapi hanya cuba meraih keuntungan politik.
“Sejak dari awal kes ‘Bossku’, mereka semua ini sepi tanpa berita, menjauh beribu batu dan kononnya tak nak terpalit dengan kes mahkamah ‘Bossku’ yang dianggap bapa kleptokrasi kini skripnya telah jauh berbeza.
“Perkiraan politik mereka, rugi rasanya kalau menjauhkan diri dari kes ‘Bossku’ kerana ‘Bossku’ masih ada nilai politik yang sangat tinggi di mata dan hati majoriti rakyat Malaysia.
“Saya bukan tidak bersetuju dengan sokongan dari mereka, tetapi soalnya kenapa baru sekarang?”, kata ketua Umno Batu itu dalam kenyataan.
Ghulam Muzaffar juga mendakwa bahawa naratif menegakkan kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, atau melakukan ‘gencatan senjata’ politik antara Umno dan PAS menceritakan agenda tersembunyi.
“Keihklasannya boleh dipersoalkan,” katanya.
Perhimpunan PAS di Istana Kehakiman di Putrajaya akan diadakan pada hari yang sama Mahkamah Rayuan mendengar permohonan Najib mengenai perintah tambahan yang didakwa meletakkannya di bawah tahanan rumah.
Ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin Sabtu lalu berkata parti itu tidak akan menghalang mana-mana ahlinya yang ingin menghadiri perhimpunan berkenaan.
Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz juga berkata bahawa pemimpin dan ahli parti bebas untuk menyertai perhimpunan itu kerana ia adalah atas semangat ‘perdamaian nasional’.
Bersatu diasaskan bersama oleh Muhyiddin Yassin selepas beliau dipecat sebagai timbalan presiden Umno pada 2016. Beliau mengkritik Najib, presiden dan perdana menteri Umno ketika itu, khususnya berhubung skandal 1MDB.