
Francis Paul Siah dari Pergerakan Perubahan Sarawak berkata, PAS perlu melaksanakan langkah hukumannya bagi kesalahan syariah di negeri ditadbir mereka saja, iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.
Pengasas Saya Anak Sarawak, Peter John Jaban pula menyifatkan hukuman sebat di khalayak ramai sebagai amalan kejam dan peninggalan pemerintahan penjajah abad ke-19.
“Ia menjadikan Malaysia tidak seiring masyarakat antarabangsa dan penyokong hak asasi manusia. Ia tiada tempat dalam masyarakat Malaysia moden, khasnya bagi negara berbilang agama,” katanya.
Siah pula yakin pihak berkuasa Islam di Sarawak tahu apa yang terbaik untuk negeri itu.
“Laksana ketetapan syariah anda di negeri anda sendiri. Tolong jangan ganggu kami di Sarawak kerana saya yakin pihak berkuasa Islam kami cukup berpengetahuan untuk membuat keputusan bagi Sarawak serta rakyat Sarawak berhubung perkara itu,” katanya kepada FMT.
Siah turut menyifatkan hukuman sebat di khalayak ramai sebagai amalan lapuk kerana perkembangan moden menunjukkan pemulihan lebih baik daripada hukuman.
Menurutnya, ulama bahkan berbeza pendapat mengenai hukuman sebat secara terbuka, beliau memetik Mufti Perlis, Asri Zainul Abidin yang berkata bagi kes khalwat, tiada penetapan syarak menyuruh pelaku disebat di khalayak ramai.
Peter berkata, bukan semua negara Islam, termasuk banyak negara di dunia Arab, mengamalkan hukuman sebat secara terbuka untuk kesalahan syariah.
Jumaat lalu, kerajaan Kelantan dilaporkan berkata, ia sedang mempertimbangkan kemungkinan melaksanakan hukuman sebat secara terbuka bagi kesalahan jenayah syariah.
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin pula menggesa semua negeri mengikut langkah Terengganu melaksanakan hukuman sebat di khalayak ramai ke atas seorang lelaki disabitkan kesalahan khalwat.
Mohd Affendi Awang, 42, disebat enam kali di depan 90 saksi di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu pada Jumaat lalu.