
Nizar yang juga Exco Pahang berkata, sekiranya perintah itu palsu, laporan polis sudah dibuat terhadap dakwaan Najib itu.
“Jika ia dokumen palsu dan tidak wujud, mengapa tiada satu pun pihak berkuasa membuat sebarang laporan polis untuk menafikannya? berdasarkan logik itu, perintah addendum itu wujud,” kata Nizar dalam perhimpunan penyokong Najib di Pusat Konvensyen Melawati malam tadi. Kira-kira 250 menghadiri perhimpunan itu.
Nizar sekali lagi mengulangi dakwaan beliau sendiri melihat salinan perintah itu, yang digambarkannya sebagai perintah addendum terhadap keputusan Lembaga Pengampunan pada 2 Feb lalu yang mengurangkan hukuman penjara Najib.
Katanya, salinan perintah itu diberikan istana Pahang ketika beliau menghadap Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, susulan laporan media mengenai perintah addendum itu.
Najib ketika ini menjalani hukuman penjara enam tahun, selepas Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman asal 12 tahun, susulan sabitan kes SRC International.
Nizar juga menyatakan kekecewaannya terhadap kerajaan kerana dilihat enggan membenarkan bapanya menjalani tahanan rumah. “Apa yang mereka takut dengan bapa saya?” katanya.
Beliau berkata pengampunan bagi banduan di wilayah persekutuan adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong, dan persoalannya bukanlah sama ada perintah addendum itu sah atau tidak, tetapi adakah ia wujud.
Sekiranya wujud, kerajaan perlu untuk melaksanakannya, katanya.
Pada 6 Jan ini, Mahkamah Rayuan mendengar permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru dalam rayuannya untuk menjalani baki hukuman penjara bawah tahanan rumah, yang didakwa beliau terdapat dalam perintah tambahan dalam pengumuman oleh Lembaga Pengampunan pada 2 Feb lalu.