
PETALING JAYA: Seorang pemandu bas persiaran didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan melakukan khianat terhadap kereta seorang wanita Taiwan pada 20 Dis lalu.
Mohd Nazri Elias, 38, membuat pengakuan itu di depan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Sinar Harian melaporkan majistret memerintahkan tertuduh dipenjara setahun, jika gagal membayar denda.
Lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan memecahkan cermin besar depan dan mencalarkan kereta Peugeot mangsa sehingga menyebabkan kerugian RM5,000 di KM0.3 Jalan Pantai menuju Permas Jaya pada 9.05 malam 20 Dis lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.