
Jeremiah Liew Yong Sin, kaunselor dan pensyarah di Universiti Help berkata, penghinaan di khalayak ramai boleh menyebabkan kerosakan psikologi mendalam.
“Sebatan di khalayak ramai memalukan dan boleh membawa kepada pengasingan yang sering mengakibatkan masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan gangguan tekanan selepas trauma,” katanya kepada FMT.
Ahli psikologi klinikal, Puveshini Rao memberitahu FMT, “apabila seseorang dijatuhkan maruah sedemikian rupa” (seperti disebat secara terbuka), parut psikologi selalunya berkekalan dan dalam kes serius, ini boleh membawa kepada idea membunuh diri atau membunuh.
Kenyataan dua ahli psikologi itu susulan hukuman sebat di khalayak ramai terhadap pesalah khalwat berulang, Mohd Affendi Awang, 42, di Terengganu pada Jumaat lalu mengikut undang-undang jenayah syariah negeri.
Liew berkata, langkah punitif secara amnya tidak menggalakkan perubahan kekal dalam tingkah laku dan boleh membawa kepada pengasingan sosial serta takut mendapatkan bantuan, bukannya menggalakkan individu bertaubat atau pertumbuhan peribadi.
“Apabila ketakutan terhadap hukuman berkurangan, mereka mungkin kembali kepada kelakuan asal.”
Justeru, beliau mencadangkan pihak berkuasa memfokuskan kaunseling dan pendidikan bagi menangani pelanggaran moral, selain terapi trauma untuk membantu Affendi menangani rasa malu dan membina semula nilai diri.
Puveshini berkata, trauma bukan saja memberi kesan kepada individu dihukum, tetapi juga saksi yang mungkin merasai atau menzahirkan pengalaman mereka, seterusnya berpotensi mencederakan diri atau orang lain.
Hukuman sebat di khalayak ramai Jumaat lalu disaksikan 90 orang, namun tiada rakaman dibenarkan.
Moral dan keadilan
Bekas Ahli Parlimen, Tawfik Ismail mempersoalkan moral hukuman sebat di khalayak ramai, yang menurutnya tidak sesuai dengan nilai belas kasihan dalam Islam.
“Memalukan seseorang secara terbuka bukan perbuatan baik. Keadilan perlu mengangkat, bukannya menjatuhkan maruah. Hukuman ini langkah ke belakang untuk masyarakat progresif,” katanya kepada FMT.
Beliau menyifatkan langkah membenarkan sehingga 70 individu menyaksikan hukuman sebat terbuka satu bentuk penghinaan keterlaluan.
“Adakah mereka ini teladan baik? Atau adakah mereka berada di sana hanya untuk menilai dan melihat orang lain menderita?” soalnya.