Amanah tak halang ahli sertai himpunan solidariti Najib

Amanah tak halang ahli sertai himpunan solidariti Najib

PAS akan anjur himpunan di Istana Kehakiman, di mana Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Najib Razak berkaitan titah addendum dikatakan dikeluar Agong terdahulu.

Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda berkata pucuk pimpinan Amanah dan Pakatan Harapan belum membuat keputusan berhubung himpunan anjuran PAS pada 6 Jan depan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Amanah tidak menghalang ahlinya menyertai himpunan “Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan” anjuran PAS pada 6 Jan depan, kata Ketua Pemudanya, Hasbie Muda.

Beliau memaklumkan sehingga kini, pucuk pimpinan Amanah dan Pakatan Harapan (PH) belum membuat ketetapan mengenai himpunan itu.

“Setakat ini, tiada apa-apa arahan parti untuk turun bersolidariti. Kita juga tidak menghalang jika ada ahli yang mahu sertai,” katanya yang juga timbalan ketua Pemuda PH kepada FMT.

Sebelum ini, PAS dilaporkan akan menganjurkan himpunan di Istana Kehakiman, Putrajaya pada 6 Jan ini, di mana Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan bekas perdana menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah addendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu.

Dalam surat bertarikh 28 Dis, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menggesa ahli parti itu menyertai himpunan itu “demi menunjukkan isyarat nyata kepada kerajaan Madani tentang keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang dituntut rakyat”.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul difailkan Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah addendum yang didakwa dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.