Sijil halal bukan beban, tegas exco Kelantan

Sijil halal bukan beban, tegas exco Kelantan

Pemilik dan pengusaha premis diberi tempoh mencukupi termasuk diadakan kursus dan taklimat mengenai perkara itu.

Halal Logo
Pada 26 Dis lalu Exco Kelantan memaklumkan pemilik dan pengusaha premis makanan dan minuman di negeri itu wajib memiliki sijil halal untuk pembaharuan lesen perniagaan.
PETALING JAYA:
Syarat mewajibkan pemilik dan pengusaha premis makanan dan minuman di Kelantan memiliki sijil halal untuk pembaharuan lesen perniagaan tidak akan membebankan, kata Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud.

Beliau berkata, ini kerana mereka diberi tempoh mencukupi termasuk diadakan kursus dan taklimat mengenai perkara itu.

Katanya, pelaksanaan syarat itu juga tidak dilakukan terburu-buru sebaliknya berperingkat yang mana setakat ini hanya Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mewajibkannya.

“Pengesahan halal sebenarnya bukan perkara membebankan, ia suatu pendidikan kepada rakyat untuk lebih menjaga kualiti makanan dan memberi keyakinan kepada pelanggan.

“Lagipun di Kelantan (sijil halal) hanya tertumpu di premis makanan dan minuman, tidak kepada yang lain lagi dan hanya bermula bawah kawasan MPKB-BRI,” katanya kepada FMT.

Pada 26 Dis lalu, Asri memaklumkan pemilik dan pengusaha premis makanan dan minuman di Kelantan diwajibkan memiliki sijil halal untuk pembaharuan lesen perniagaan.

Katanya, setakat ini syarat itu diwajibkan oleh MPKB-BRI dan pelaksanaannya akan diperluas kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.

Semalam, Ketua Pembangkang DUN Kelantan, Syahbuddin Hashim, gesa kerajaan negeri memberi tempoh peralihan mencukupi kepada pemilik dan pengusaha premis supaya mereka boleh berbuat demikian.

Katanya, walaupun niat itu baik ia tidak seharusnya membebankan pemilik dan pengusaha premis.

Sementara itu, Asri berkata Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) juga sudah mengadakan kursus dan taklimat kepada peniaga serta pemilik premis sebelum mereka memohon pengesahan halal tersebut.

Mohd Asri Mat Daud
Mohd Asri Mat Daud.

Katanya, peniaga termasuk dalam kalangan bukan Islam memohon perakuan itu atas keprihatinan sendiri.

Asri yang juga Adun Demit berkata, syarat itu bukan menjadi kewajipan kepada peniaga bukan Islam di Kelantan namun mereka digalakkan berbuat demikian.

“Di Kelantan memang ada bukan Islam yang dapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) tetapi majoritinya ialah Muslim lebih 80%.”

Jelasnya, SPHM tidak terpakai kepada premis khas untuk bukan Muslim, tetapi hanya akan dikenakan sekiranya premis berkenaan turut menjual produk kepada pelanggan Muslim.

“Hidangan Bak Kut Teh, Char Siu, dan Siu Yuk (khinzir panggang) boleh terus dijual di semua premis bukan Muslim untuk pelanggan bukan Muslim tanpa perlu miliki SPHM. Tiada pertikaian sebenarnya dalam isu ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.