
Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan, berkata permohonan itu perlu dilakukan mengikut tatacara dan saluran ditetapkan, di bawah undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain.
“Kamar ini telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memaklumkan semua permohonan mengenai pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan.
“Oleh itu sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan termasuk Najib menghabiskan baki tempoh hukumannya dengan ditahan di rumahnya, permohonan berkenaan perkara tersebut hendaklah dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Menurut Jabatan Peguam Negara, berdasarkan Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi ampun, tunda hukum, dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya.
Jabatan Peguam Negara berkata, Perkara 42 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan antara lain Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman telah dijatuhkan mahkamah.
“Dalam hal ini keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Lembaga Pengampunan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan juga adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang terpakai bagi mengelakkan tindakan sedemikian dicabar di mahkamah kerana tidak sah dari segi undang-undang,” katanya.
Pada 28 Julai 2020, Najib disabit kesalahan oleh Hakim Nazlan Ghazali, yang ketika itu adalah hakim Mahkamah Tinggi kerana salah guna kuasa, pengubahan wang, dan pecah amanah jenayah dalam kes SRC International, melibatkan dana berjumlah RM42 juta.
Rayuan di Mahkamah Rayuan ditolak pada 8 Dis 2021.
Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022, sejurus Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.