Malaysia patut belajar daripada kegagalan ART Indonesia, kata pakar

Malaysia patut belajar daripada kegagalan ART Indonesia, kata pakar

Kegagalan tren ketika ujian menunjukkan pangkalan bekalan yang pelbagai penting dan risiko berkaitan teknologi baharu perlu diambil kira.

Bulan lalu, Jakarta dilaporkan akan memulangkan tren ART buatan China yang gagal berfungsi secara automatik sepenuhnya ketika ujian di ibu negara baharu Indonesia di Nusantara, Kalimantan. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Pakar berkata kegagalan sistem Aliran Transit Automasi (ART) ketika ujian di Nusantara baru-baru ini ialah peringatan bahawa pilihan lebih banyak penting semasa memperkenalkan teknologi baharu.

Liew Yit Wey, ahli akademik di Sekolah Perniagaan Universiti Sunway, berkata ia akan memastikan ada pembekal alternatif berdaya maju apabila wujud keperluan, manakala perunding pengangkutan, Wan Agyl Wan Hassan, berkata kebergantungan berlebihan kepada hanya satu pembekal mewujudkan “kelemahan strategik”.

Bulan lalu, Jakarta dilaporkan akan memulangkan tren ART buatan China yang gagal berfungsi secara automatik sepenuhnya ketika ujian di ibu negara baharu Indonesia di Nusantara, Kalimantan pada September serta Oktober lepas.

Media pada Ogos lalu melaporkan Malaysia sedang mempertimbangkan sistem ART untuk Lembah Klang, manakala Johor dan Sarawak sudah menjalankan ujian perintis ke atas sistem sama.

Sistem ART, yang digambarkan sebagai gabungan antara tren, trem dan bas dihasilkan pengeluar kerajaan China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC).

Secara kebetulan, CRRC turut membekalkan 90% daripada 68 tren penumpang Keretapi Tanah Melayu Bhd.

Keadaan di Kuching

Kerajaan Sarawak memberi jaminan projek ART, di bawah inisiatif Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), tidak mungkin menghadapi masalah sama seperti Nusantara.

Cabaran sedemikian ditangani melalui kerjasama rapat dengan pengeluar peralatan asal (OEM) untuk memperhalusi reka bentuk dan teknologi ART bagi memenuhi keperluan negeri, katanya.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Lee Kim Shin, dilaporkan berkata pengeluar sistem ART untuk projek KUTS “pakar dalam sistem itu sendiri”.

Sebaliknya, beliau berkata, kepakaran pengeluar bagi projek Nusantara terletak pada tren berkelajuan tinggi.

Liew Yit Wey.

Tetapi, Liew berkata, tiada salah mempertimbangkan pilihan alternatif.

“Dinasihatkan tidak menyimpan semua telur dalam bakul sama,” katanya kepada FMT.

Wan Agyl berkata, dengan adanya pangkalan pembekal pelbagai mempunyai dua faedah.

“Ia menggalakkan inovasi dan melindungi Malaysia daripada potensi risiko seperti gangguan rantaian bekalan atau ketegangan geopolitik,” kata pengasas badan pemikir pengangkutan, My Mobility Vision.

Menurutnya, negara seperti Jerman menunjukkan bagaimana memupuk perolehan kompetitif boleh mewujudkan sistem lebih berdaya tahan.

Beliau berkata, langkah perlu diambil untuk memastikan penggunaan sebarang teknologi baharu dalam sektor pengangkutan disokong ujian menyeluruh dan penilaian bebas.

“Jika tidak, kita akan berdepan risiko ketidakcekapan operasi dan pembaziran dana awam,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, walaupun Jakarta yang membelanjakan USD13.2 juta untuk memperoleh tiga unit ART, mungkin tidak mengalami kerugian kewangan langsung, ia masih kehilangan peluang.

“Ia boleh melabur dalam penyelesaian sesuai untuk masa depan dan lebih baik. Malaysia perlu mengelak melakukan kesilapan sama dengan mengambil kira matlamat ekonomi dan alam sekitar.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.