
Ketua Pembangkang DUN Kelantan, Syahbuddin Hashim, berkata walaupun niat itu baik, ia tidak seharusnya membebankan pemilik dan pengusaha premis.
“Kami menghormati usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan standard halal, kebersihan dan integriti perniagaan makanan di Kelantan seiring dengan imej negeri sebagai Serambi Makkah.
“Namun, kami berpandangan pelaksanaan ini memerlukan kajian terperinci dan pelan sokongan yang jelas bagi memastikan ia tidak membebankan pengusaha terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” kata Adun Umno kepada FMT.
Semalam, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud, memaklumkan pemilik dan pengusaha premis makanan dan minuman di Kelantan diwajibkan memiliki sijil halal untuk pembaharuan lesen perniagaan.
Katanya, setakat ini syarat itu diwajibkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan pelaksanaannya akan diperluas kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di negeri itu.
Mengulas lanjut, Syahbuddin yang juga Adun Galas berkata, untuk setiap pemilik dan pengusaha mendapatkan sijil halal, kerajaan negeri perlu menyediakan program latihan, bimbingan dan bantuan kewangan untuk peniaga, terutama dalam kalangan PKS dan peniaga pasar malam.
“Selain itu, dasar ini juga perlu bersifat inklusif dengan mengambil kira keperluan premis yang dikendalikan oleh peniaga bukan Islam agar keharmonian sosial dan ekonomi negeri tidak terjejas.
“Kerajaan perlu menilai kesan dasar ini terhadap ekonomi negeri, termasuk risiko peniaga memilih berpindah ke negeri lain yang mempunyai syarat lebih fleksibel,” katanya.
Beliau juga menggesa kerajaan negeri mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan supaya dasar itu dapat dilaksanakan dengan adil.
Sementara itu, Adun Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim, menggesa kerajaan negeri ‘memberi tempoh pendidikan’ terlebih dahulu sebelum sesuatu dasar dilaksanakan.
“Sepatutnya perlu ada libat urus dua tahun sebelum sesuatu dasar itu dilaksanakan, perlu ada tempoh untuk mendidik,” kata wakil rakyat Amanah.