Kerajaan tak benar kenaikan tarif elektrik bebankan rakyat, kata Anwar

Kerajaan tak benar kenaikan tarif elektrik bebankan rakyat, kata Anwar

Perdana menteri berkata TNB dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Fadillah Yusof diminta memberi penerangan berhubung tarif baru itu.

tnb
TNB mencadangkan tarif baharu dengan tarif asas 45.62 sen/KwJ bagi Semenanjung Malaysia bermula 1 Julai 2025 berbanding tarif 39.95 sen/kWj sebelum ini.
LANGKAWI:
Kerajaan tidak membenarkan kenaikan tarif elektrik yang menjejaskan orang ramai, justeru meminta Tenaga Nasional Bhd (TNB) memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau juga menghubungi Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air berhubung perkara itu.

“Kita tidak benarkan kenaikan elektrik yang menjejaskan orang ramai. Kenaikan seperti mana yang dulu itu hanya melibatkan golongan atasan yang saya sebut maha kaya, atau pun industri yang mencatat keuntungan. Rakyat terbanyak tidak terkesan dari kenaikan elektrik, walaupun saya faham kos meningkat.

“Walaupun kos meningkat, tidak boleh menjejaskan kedudukan majoriti rakyat. Ini dari segi dasar (kerajaan). Saya faham keperluan naik, tapi kenaikan tidak boleh melibatkan kedudukan kos kepada majoriti rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Al-Hana, Kuah.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata Fadillah dan TNB akan memberikan penjelasan secara terperinci berhubung perkara itu.

TNB menerusi makluman kepada Bursa Malaysia semalam memaklumkan jadual tarif baharu dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) bagi Semenanjung Malaysia di bawah RP4, dicadang dilaksanakan mulai 1 Julai depan, masih di peringkat cadangan.

Di bawah Tempoh Kawal Selia 3 antara 2022 dan 2024, tarif asas ditetapkan pada 39.95 sen/kWj.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.