PTPTN lancar kempen LESTARIPendidikan bantu peminjam bayar balik pinjaman

PTPTN lancar kempen LESTARIPendidikan bantu peminjam bayar balik pinjaman

PTPTN perkenal dua inisiatif bantu peminjam menyelesaikan hutang pinjaman dengan lebih berkesan.

MAJLIS PELUNCURAN KEMPEN LESTARI PENDIDIKAN - MENARA PTPTN
Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim (dua kiri) melancarkan kempen LESTARIPendidikan melalui dua inisiatif iaitu #PTPTNBolehBincang dan #PTPTNSediaBantu.
KUALA LUMPUR:
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan kempen LESTARIPendidikan dalam usaha membantu peminjam menyelesaikan hutang pinjaman dengan lebih berkesan.

Kempen LESTARIPendidikan satu inisiatif strategik untuk memastikan pendidikan tinggi kekal inklusif, mampan dan relevan bagi generasi akan datang.

Pengerusi Norliza Abdul Rahim berkata, mesej utama kempen ini adalah untuk memperkasakan rakyat melalui pendidikan tinggi di samping membantu peminjam menyelesaikan tanggungjawab membayar hutang PTPTN dengan lebih berkesan.

“Pendidikan tinggi ialah landasan untuk meningkatkan taraf hidup yang hanya dapat direalisasi jika dana pendidikan kekal mampan,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran kempen itu di Menara PTPTN.

Beliau berkata, setiap pembayaran balik merupakan pelaburan kepada masa depan pendidikan generasi akan datang, di mana dana diterima daripada pembayaran tersebut membolehkan PTPTN terus menyokong 450,000 peminjam sedia ada dan 150,000 peminjam baharu setiap tahun.

Norliza berkata, melalui kempen itu pihaknya memperkenalkan dua inisiatif dan satu daripadanya adalah #PTPTNBolehBincang.

“Melalui inisiatif itu peminjam boleh berbincang atau berunding untuk pelan pembayaran fleksibel iaitu penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan kewangan mereka,” katanya.

Katanya, satu lagi inisiatif adalah #PTPTNSediaBantu.

Menurutnya, inisiatif ini bagi memudahkan peminjam berurusan dengan menyediakan pelbagai saluran perkhidmatan dan bayaran balik dengan lebih mudah, cepat dan selamat.

“Saluran tersebut disediakan untuk membantu dan memudahkan peminjam yang mempunyai pertanyaan atau urusan berkaitan bayaran balik pinjaman,” katanya.

Norliza berkata, kempen LESTARIPendidikan berteraskan kepada empat elemen penting iaitu transformasi, aspirasi, realisasi dan inovasi.

“Transformasi untuk meningkatkan kesedaran tentang peranan PTPTN dalam akses pendidikan tinggi; aspirasi untuk menyokong pelajar mencapai impian pendidikan tertinggi; realisasi bagi memastikan peluang pendidikan berterusan melalui pembayaran balik peminjam yang bertanggungjawab.

“Manakala inovasi pula, dengan memperkenalkan aplikasi seperti myPTPTN dan myWaqafPTPTN untuk memudahkan urusan pembayaran dan pengurusan pinjaman,” katanya.

Sementara itu, Norliza berkata PTPTN penuh empati memastikan semua ruang diberikan kepada peminjam untuk menyelesaikan bayaran balik pinjaman.

Katanya, bagaimanapun usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak dan berharap peminjam PTPTN mengambil peluang tersebut untuk menghubungi pihaknya dan berbincang bagi menyelesaikan bayaran balik pinjaman mereka.

Beliau memaklumkan, hingga September lalu tunggakan pinjaman PTPTN adalah berjumlah RM11.32 bilion dan melibatkan lebih 1.25 juta peminjam culas.

“PTPTN telah mengambil pelbagai langkah termasuk penghantaran surat peringatan, notis tuntutan rasmi dan memperkenalkan pelbagai mekanisme.

“Antaranya kadar ujrah rendah, mula bayar balik selepas 12 bulan tamat tempoh pinjaman (tempoh bertenang), serta pelan pembayaran fleksibel iaitu penstrukturan semula bayaran balik pinjaman,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.