Malaysia perkukuh status destinasi pelaburan berteknologi tinggi

Malaysia perkukuh status destinasi pelaburan berteknologi tinggi

Syarikat teknologi gergasi melihat Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk melabur di Asia.

data centre
Malaysia menjadi destinasi pelaburan utama bagi gergasi teknologi seperti Amazon Web Services, Microsoft, Google dan Oracle, dengan nilai berbilion ringgit. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia sejak beberapa tahun lalu dicatatkan pada kadar luar biasa, meletakkan negara sebagai destinasi utama untuk pelaburan berteknologi tinggi di rantau ini.

Pada 2023, Malaysia menarik jumlah pelaburan diluluskan memecah rekod sebanyak RM329.5 bilion, 23% lebih tinggi daripada tahun sebelumnya. Momentum ini kekal pada separuh pertama tahun ini dengan pelaburan diluluskan sebanyak RM160 bilion, lonjakan 18% tahun ke tahun.

Setakat ini, syarikat teknologi gergasi global seperti Amazon Web Services, Microsoft, Google dan Oracle mengumumkan rancangan untuk melabur sekurang-kurangnya USD16.9 bilion (RM74.5 bilion) di negara ini.

Ini susulan pemeteraian perkongsian antara syarikat teknologi terhangat dunia Nvidia – pembuat cip termaju untuk aplikasi kecerdasan buatan (AI) – dengan YTL Power International Bhd untuk membangunkan prasarana AI di Malaysia menerusi perjanjian bernilai USD4.3 bilion (RM19 bilion) yang melibatkan pembangunan pusat data di Johor.

“Malaysia ialah hab penting untuk prasarana pengkomputeran Asia Tenggara,” kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia Jensen Huang apabila perkongsian itu diumumkan lewat tahun lalu.

Kebanyakan pelaburan adalah berkaitan pembangunan pusat data, dan ini meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab pusat data serantau dengan pelaburan diluluskan untuk projek sedemikian berjumlah RM114.7 bilion dari 2021 hingga 2023.

Menurut Indeks Pusat Data Global 2024 DC Byte, Johor Bahru diiktiraf sebagai pasaran pusat data paling pesat berkembang di Asia Tenggara.

Pertumbuhan ini sebahagiannya dimangkin oleh strategi layanan istimewa kepada syarikat teknologi, menawarkan insentif cukai dan geran untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi.

Memupuk ekonomi digital

Malaysia juga mempunyai sejarah panjang menarik pelaburan daripada syarikat teknologi global seperti Intel, Advanced Micro Devices, Dell, dan lain-lain.

Hal ini dapat dicapai sebahagiannya kerana negara ini mempunyai kelebihan tenaga kerja berpendidikan dan berkemahiran, prasarana yang cemerlang, kos operasi yang agak rendah serta kestabilan politik dan sistem perundangan Komanwel, selain bahasa Inggeris ditutur secara meluas.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negara ini juga menjadi penerima manfaat utama ‘perang perdagangan’ antara Amerika Syarikat dengan China apabila syarikat multinasional memindahkan sebahagian operasi mereka dari China ke negara Asean, termasuk Malaysia.

Dalam pada itu, terdapat perubahan ketara dalam strategi kerajaan untuk mencetuskan transformasi Malaysia ke arah ekonomi digital.

Sepanjang setahun lalu, pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim memperkenalkan pelbagai dasar berkaitan teknologi tinggi seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Strategi Semikonduktor Nasional.

Ini menandakan peralihan ke arah pendekatan lebih strategik untuk menarik pelaburan asing, memberi tumpuan kepada projek yang mempertingkat keupayaan teknologi negara seperti dalam kecerdasan buatan (AI) dan teknologi data.

Segelintir pemerhati industri berkata, tumpuan kerajaan terhadap transformasi digital memberi dorongan kepada pelaburan memecah rekod yang masuk ke negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Perniagaan Amerika Malaysia, Siobhan Das, berkata Anwar berusaha menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan sambil menggariskan bidang dasar yang penting untuk masa depan Malaysia seperti NETR, NIMP dan fokus yang kukuh pada transformasi digital.

Belanjawan 2025 dan transformasi digital

Penekanan terhadap ekonomi digital juga dicerminkan dalam Belanjawan 2025 yang diumumkan bulan lalu.

Ketua Digital dan Rakan Kongsi Teknologi Cukai PwC Malaysia, Yap Sau Shiung, berkata belanjawan itu menggariskan komitmen Malaysia untuk memajukan pendigitalan, memupuk penggunaan AI dan menggalakkan pertumbuhan inklusif.

“Matlamat inisiatif transformasi digital kerajaan dalam Belanjawan 2025 adalah untuk melonjakkan Malaysia sebagai peneraju dalam inovasi digital global,” katanya.

Bagi menggalakkan penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi, potongan cukai tersedia untuk universiti swasta dan institut latihan kemahiran yang membangunkan kursus baharu seperti AI, robotik, internet kebendaan (IoT), sains data, teknologi kewangan dan teknologi mampan.

Yap berkata, terdapat peningkatan ketara dalam peruntukan untuk penyelidikan dan inovasi AI di universiti, termasuk RM10 juta bagi Pejabat AI Kebangsaan dan RM50 juta untuk pendidikan AI.

Belanjawan 2025 juga menawarkan insentif cukai untuk kegiatan eksport reka bentuk litar bersepadu (IC). Elaun untuk peningkatan eksport bagi syarikat yang terlibat dalam kegiatan perkhidmatan terpilih akan diperluas merangkumi perkhidmatan reka bentuk IC.

“Kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh dengan membolehkan pelaburan dalam prasarana, pendidikan, penyelidikan dan pembangunan digital, keselamatan siber serta sokongan lanjutan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan ekosistem pemula tempatan,” kata Yap.

Menurut unjuran, menjelang 2025, ekonomi digital akan menyumbang 25.5% keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan mewujudkan sehingga 500,000 pekerjaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.