
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Isa berkata, aktivis haiwan yang menjumpai bangkai kucing pada 20 Dis lepas telah menyerahkannya kepada pihak polis bagi tujuan pemeriksaan lanjut.
“Bangkai kucing tersebut telah dihantar ke makmal veterinar bagi tujuan pemeriksaan dan bedah siasat pada 27 Dis (esok),” katanya dalam kenyataan.
“Turut dihantar untuk pemeriksaan dan bedah siasat, bangkai kucing yang ditemukan pada 25 Dis di tempat letak kereta Fakulti Sukan dan Sains Eksesais UM.
Terdahulu, penemuan dua bangkai kucing di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi pada 12 dan 16 Dis lepas membawa kepada laporan polis oleh Kesatuan Mahasiswa UM (KMUM) pada 17 Dis.
Satu lagi laporan dibuat pada 20 Dis berhubung kematian empat kucing di lokasi berbeza di kawasan kampus.
Pada 22 Dis lepas, Rusdi dilaporkan berkata, kematian beberapa ekor kucing di kampus UM baru-baru ini dipercayai berpunca daripada serangan anjing liar, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar.
Menurut polis, Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut mengesahkan kematian kucing-kucing terbabit adalah disebabkan serangan anjing liar.
Bagaimanapun, pada Selasa, polis memaklumkan bahawa satu kertas siasatan telah dibuka berhubung kes kematian kucing-kucing tersebut.
Semalam, bangkai seekor kucing dan anjing dilapor ditemukan dengan kecederaan di bahagian perut di kampus universiti tersebut.
Aktivis haiwan Shima Aris bagaimanapun berkata, anjing itu mati selepas dilanggar sebuah kenderaan.