
Adun Gambir, Sahrihan Jani, juga mahu tindakan proaktif termasuk membatalkan permit dan penganjuran program itu jika benar penganjur tidak mematuhi garis panduan ditetapkan Majlis Daerah Tangkak dan pihak keselamatan.
“Saya mengulangi semula desakan supaya tindakan tegas diambil termasuk pendakwaan kes di mahkamah terhadap penganjur dan penutupan operasi karnival serta-merta.
“Sebarang permohonan maaf tidak cukup untuk menutup kesalahan ini,” katanya dalam kenyataan.
Sahrihan berkata, sejak awal isu itu tular beliau berhubung dgn Majlis Daerah Tangkak menyuarakan kebimbangan bahawa ia akan mencetuskan kegelisahan masyarakat.
Katanya, Pemuda Umno Ledang juga sudah membuat laporan polis berhubung isu itu yang dianggapnya sebagai tindakan yang menggugat maruah dan keselamatan negara.
Beliau difahamkan, karnival lampu LED yang berlangsung di Dewan Serbaguna Bukit Gambir akan menghentikan operasinya hari ini.
“Saya menasihatkan penganjur dalam apa-apa jua program selepas ini supaya lebih sensitif dengan budaya dan tidak mencetuskan provokasi yang boleh mencetuskan kegelisahan masyarakat serta berhati-hati terutama dalam soal perpaduan dan keselamatan negara,” katanya.
Terdahulu, tular gambar replika roket dengan bendera China pada bahagian sayap dipamerkan di karnival itu.
Gambar itu mencetuskan kecaman pengguna media sosial dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penganjur.