Nahas Ayer Keroh: Polis rakam keterangan pemandu treler tayar tercabut

Nahas Ayer Keroh: Polis rakam keterangan pemandu treler tayar tercabut

Keterangan pemandu berusia 31 tahun itu diambil pada malam kejadian, menurut polis Alor Gajah.

kemalangan ayer keroh
Tujuh mangsa terkorban dalam kemalangan membabitkan 5 kenderaan di KM204 Lebuh Raya Plus arah utara dekat kawasan R&R Ayer Keroh pada Isnin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis telah merakam keterangan pemandu treler yang tayarnya tercabut dipercayai menjadi punca kemalangan ngeri mengorbankan tujuh mangsa di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Ayer Keroh pada Isnin.

Ketua Polis Alor Gajah Ashari Abu Samah berkata, keterangan pemandu berusia 31 tahun itu diambil pada malam kejadian bagi membantu siasatan kemungkinan wujud kecuaian yang mengakibatkan tayar hadapan treler itu tercabut.

“Ujian saringan air kencing terhadap pemandu itu menunjukkan dia bebas daripada pengaruh dadah dan alkohol,” katanya, lapor Bernama.

Ashari berkata, polis kini berusaha mendapatkan rakaman kamera papan pemuka memaparkan tayar di atas lebuh raya, yang tular menerusi media sosial, dengan pemilik kenderaan terlibat diminta tampil membantu siasatan.

Menurutnya, kemalangan itu disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu dilaporkan tujuh mangsa terkorban dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah bas persiaran, sebuah Toyota Estima dan sebuah Perodua Bezza di KM204 Lebuh Raya Plus arah utara dekat kawasan R&R Ayer Keroh itu.

Mangsa terkorban terdiri daripada pemandu bas itu dan seorang penumpang yang merupakan warga Singapura, serta lima sekeluarga yang menaiki Toyota Estima, termasuk seorang kanak-kanak berusia 2 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.