Lelaki ditahan miliki 2 pistol tiruan, ‘patch’ tentera, dadah

Lelaki ditahan miliki 2 pistol tiruan, ‘patch’ tentera, dadah

Suspek ditahan anggota Batalion 9 PGA selepas dilihat menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di pekan Rantau Panjang.

rampasan PGA
Pistol tiruan, ‘patch’ tentera dan dadah antara barangan yang dirampas daripada suspek yang ditahan anggota Batalion 9 PGA di pekan Rantau Panjang di Kelantan pada Ahad lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan kerana memiliki dua pistol tiruan, ‘patch’ tentera dan dadah bernilai RM6,580 ketika pemeriksaan di pekan Rantau Panjang di Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata lelaki berusia 24 tahun itu ditahan pada Ahad lalu oleh anggota Batalion 9 PGA yang sedang membuat rondaan selepas melihat suspek menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketika pemeriksaan dibuat, polis menemui sepucuk pistol tiruan jenis Glock bersama satu plastik peluru airsoft dan 268 biji pil Epam.

“Selain itu, terdapat juga epolet pangkat, baju-T dan ‘patch’ unit 617 tentera yang turut dibawa suspek,” katanya dalam kenyataan menurut Harian Metro.

Nik Ros berkata susulan penahanan itu anggota membuat serbuan ke sebuah rumah di Kampung Kok Batu di Rantau panjang.

“Dalam serbuan terbabit, kita menemukan sepucuk lagi pistol tiruan jenis Glock bersama satu plastik peluru airsoft, 234 biji pil Epam, lapan biji pil kuda dan epolet pangkat tentera,” katanya.

Katanya, suspek dan semua barangan termasuk dadah yang dirampas itu dibawa ke ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960, dan Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.