
Pemimpin PKR yang enggan dinamakan berkata, jawatan itu sepatutnya tidak dipertandingkan dan pemilihan awal bulan ini julung kali diadakan sejak PH Sabah dibentuk pada 2017.
Beliau mendakwa komponen PH Sabah, iaitu PKR, DAP, Upko dan Amanah secara tradisinya menamakan seorang pemimpin PKR untuk mempengerusikan PH Sabah.
“Sabah dipimpin PKR, jadi sekalipun pengerusinya digantikan, ia sepatutnya seseorang daripada PKR.
“Christina Liew sudah tinggalkan perkara lalu, tetapi kami minta penjelasan kerana struktur kepimpinan dalam PH Sabah berdasarkan apa yang diperuntukkan kepada parti,” katanya kepada FMT.
Sumber itu turut mendakwa pemilihan oleh PH Sabah cubaan untuk mengetepikan PKR.
Liew diturunkan daripada jawatan pengerusi yang disandangnya sejak 2017, selepas kalah kepada Presiden Upko, Ewon Benedick pada 1 Dis lepas dengan kelebihan tiga undi.
Bagaimanapun, timbul spekulasi Liew mungkin kembali mengetuai PH Sabah.
Jumaat lalu, Adun Api-api itu dilaporkan berkata, perbincangan sedang diadakan berhubung kemungkinan beliau kembali menerajui PH Sabah. Menurutnya, rundingan sudah diadakan dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan ahli Majlis Pimpinan Negeri.
Pemimpin Pemuda PH Sabah bagaimanapun menggesa parti komponen menghormati keputusan pemilihan.
‘Bukan boneka’
Sementara itu, sumber mendakwa Upko dan DAP melobi untuk menyingkirkan Liew.
“Mereka mahu menyingkirkan Liew kerana beliau tidak mudah dikawal. Beliau bukan boneka, jadi sukar untuk mereka,” katanya.
Timbalan Ketua DAP Sabah, Chan Foong Hin, menegaskan demokrasi harus dihormati.
“Setiap parti politik ada pemilihan dan tidak kira apa keputusannya, kita mesti menghormati proses demokrasi.”
Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu menggesa ahli PH Sabah memfokuskan masa depan, bukannya pertikaian dalaman dan pertukaran kepimpinan.
“Tiba masanya kita tinggalkan perkara lalu dan tumpu pada persediaan PRN akan datang.
“Ada kerja penting menanti kita dan pertikaian dalaman akan mengganggu kemajuan usaha kita,” menurut timbalan menteri perladangan dan komoditi itu.