Tayar lori tercabut punca 5 sekeluarga antara 7 maut di PLUS

Tayar lori tercabut punca 5 sekeluarga antara 7 maut di PLUS

Polis berkata bas persiaran hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan selepas terlanggar tayar depan kanan lori tercabut yang berada di lorong tengah.

kemalangan maut plus
Keadaan bas dan lori terbabit kemalangan maut di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat R&R Ayer Keroh, malam tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tayar lori tercabut punca lima sekeluarga antara tujuh terkorban dalam kemalangan lima kenderaan di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat kawasan rehat dan rawat (R&R) Ayer Keroh, malam tadi.

Ketua Polis Alor Gajah, Ashari Abu Samah, berkata nahas itu membabitkan sebuah lori jenis Foton dan bas persiaran membawa 27 penumpang dalam perjalanan dari utara menghala selatan, sementara sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima, treler dan Perodua Bezza menuju arah utara.

Katanya, tayar depan kanan lori dipandu lelaki berusia 31 tahun itu tercabut dan berada di lorong tengah.

Menurutnya, bas persiaran yang tiba di tempat kejadian terlanggar tayar itu menyebabkan ia hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

“Semasa terbabas ke laluan bertentangan, bas berlanggar Perodua Bezza hingga kereta itu terbabas ke lorong kiri jalan dan melanggar penghadang jalan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, bas itu kemudian bertembung sebuah treler dan Toyota Estima menyebabkan pemandu bersama empat penumpang MPV, pemandu bas serta seorang penumpang maut di tempat kejadian.

Mangsa maut ialah pemandu MPV, Khairul Ikhwan Mazupi, 32; isterinya Fadzlenna Ramli, 32; anak bongsu mereka, Muhammad Umar, 2; bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66; dan isterinya serta pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56; dan penumpang bas yang belum dikenal pasti identiti.

Dua lagi anak pasangan itu, Nur Sofea Humaira, 4, dirawat di zon kuning Hospital Melaka dan Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, di zon merah hospital sama.

“Semua kenderaan terlibat dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi pemeriksaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.”

Terdahulu, media melaporkan tujuh maut dan 33 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, treler dan MPV dinaiki lapan sekeluarga.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Mohd Pisar Aziz, dilaporkan berkata semua jenazah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat, manakala 17 mangsa cedera dihantar ke Hospital Melaka, 10 ke Hospital Alor Gajah dan enam ke Hospital Pantai Ayer Keroh.

Katanya, 27 anggota digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kira-kira 8.45 malam tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.