
Nur Aqilah Mazupi, 30, berkata sambutan itu julung kali diadakan serentak di rumah nenek mereka di Bangi, Selangor kerana tidak mahu ketiga-tiga anak saudaranya yang lahir pada bulan berbeza merajuk.
Nur Aqilah merupakan adik kepada pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima, Khairul Ikhwan, 32, yang maut bersama isterinya, Fadzlenna Ramli, 32, dan anak mereka berusia dua tahun, Muhammad Umar dalam nahas lima kenderaan.
“Mereka lahir pada Februari dan Disember, tapi sebab tak mahu ada yang merajuk, sambutan dibuat serentak dan itu kali pertama dibuat. Sambutan diadakan di rumah nenek mereka di Bangi dan saya pula kali terakhir berjumpa arwah pada Sabtu lepas (21 Dis) ketika mereka sekeluarga singgah di Seremban, sebelum ke Melaka.
“Paling saya tak boleh lupa, Muhammad Umar bersungguh-sungguh melambai kepada kami ketika kereta bergerak sehinggalah hilang daripada pandangan,” katanya di Jabatan Forensik Hospital Melaka di sini.
Beliau berkata, abangnya yang juga anak kedua daripada lima beradik ke Melaka untuk sambutan hari keluarga sebelah Fadzlenna.
“Saya tahu kemalangan ini selepas tengok berita. Apabila dilaporkan ada kemalangan membabitkan Toyota Estima, saya hubungi polis untuk pengesahan nombor plat kereta dan terus ke sini.”
Dalam kejadian 8.45 malam Isnin, Khairul Ikhwan dan Fadzlenna masing-masing bekerja sebagai pembantu perubatan di Hospital Kuala Lumpur serta Hospital Serdang, maut di tempat kejadian bersama anak bongsu mereka serta Ramli Ab Wahab, 66, yang juga bapa Fadzlenna.
Turut dikenal pasti terkorban ialah pemandu bas persiaran, Noorisnien Khamid, 56.
Dua lagi mangsa yang maut di tempat kejadian masing-masing seorang penumpang MPV dan bas persiaran belum dikenal pasti.
Anak sulung pasangan itu, Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, yang cedera parah kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala anak kedua, Nur Sofea Humaira, 4, dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di zon kuning.
Tujuh maut manakala 33 cedera dalam kemalangan membabitkan bas persiaran membawa 27 penumpang, sebuah lori dan treler, sebuah kereta dan MPV malam tadi.
Siasatan awal mendapati bas persiaran itu terlanggar tayar lori tercabut di lorong tengah dan menyebabkan ia hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung tiga kenderaan.