Dividen ASB 5.75 sen seunit, tertinggi dalam 5 tahun

Dividen ASB 5.75 sen seunit, tertinggi dalam 5 tahun

Pengagihan itu merangkumi pendapatan 5.50 sen seunit dan bonus 0.25 sen seunit.

PNB berkata jumlah pembayaran RM10.1 bilion akan memanfaatkan 11.1 juta pemegang unit ASB.
KUALA LUMPUR:
Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan 5.75 sen seunit untuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis ini.

Pengagihan itu terdiri daripada pendapatan 5.50 sen seunit dan bonus 0.25 sen seunit.

Jumlah pembayaran RM10.1 bilion akan memanfaatkan 11.1 juta pemegang unit ASB, kata PNB dalam kenyataan.

Pembayaran dividen ASB sebanyak 5.75 sen seunit lebih tinggi berbanding 5.25 sen seunit yang dibayar tahun lalu.

PNB berkata, ASB terus memberikan pulangan mampan, mengatasi pulangan pasaran serta penanda arasnya, iaitu kadar deposit tetap 12 bulan Maybank, ketika bilangan akaun ASB meningkat 2.4% kepada 11.1 juta akaun.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Abdul Rahman Ahmad, berkata pengagihan 5.75 sen seunit adalah pembayaran tertinggi sejak 2020.

“Tahun lepas, kita bayar sebanyak RM9.3 bilion. Secara kumulatif, ASB telah mengagihkan RM196.5 bilion sejak penubuhannya,” katanya dalam taklimat bersama pengarang media di Merdeka 118.

Beliau menyifatkan pembayaran lebih tinggi itu disebabkan prestasi lebih kukuh dalam pasaran ekuiti Malaysia yang membolehkan ASNB memberikan pulangan lebih baik.

“Sejak lima tahun lepas, pemberian dividen adalah mencabar, kecuali tahun ini kerana ia mencerminkan prestasi pasaran saham Malaysia. Jika pasaran terus menunjukkan prestasi baik, kami berharap dapat mengekalkan pengagihan dividen seperti ini.”

Menurutnya, PNB menyasarkan pertumbuhan bercita-cita tinggi dan meningkatkan aset di bawah pengurusan (AUM) daripada RM347 bilion tahun ini kepada RM400 bilion menjelang 2027.

Tahun ini, PNB mencatatkan peningkatan 3.2% dalam jumlah akaun kepada 16.2 juta dengan ASNB menambah lebih 400,000 pemegang unit baharu.

Bagi memacu pelaburan berulang, katanya, PNB merancang menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan tabiat menabung lebih kukuh.

“Sebagai contoh, kami akan mempromosikan idea jika anda simpan RM150 sebulan dan biarkan ia berkembang 10 tahun dengan pengkompaunan pada simulasi 5% konservatif, lebih rendah daripada 5.5% atau 5.75% yang ditawarkan ASB…anda boleh mengumpul hampir RM23,000.”

Beliau bagaimanapun berkata, 51% rakyat Malaysia belum mula melabur, manakala 40% orang dewasa belum memulakan perancangan kewangan untuk persaraan.

“Ini adalah cabaran kritikal yang perlu kita tangani. Mereka yang menabung pun…simpanan tidak mencukupi.”

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Arshad Raja Uda, berkata ia akan terus mempertingkatkan usaha celik kewangan untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan rakyat merentas generasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.