
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata semua warga tempatan berusia 20 hingga 74 tahun itu ditahan di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu semalam.
“Hasil pemeriksaan terhadap peranti yang digunakan di premis semua suspek menemui anggaran 40,000 CSAM dan pornografi dewasa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, tujuh komputer, seunit komputer riba, 11 telefon bimbit dan 16 modem serta router turut dirampas dalam operasi bersepadu itu.
Menurutnya, 13 kertas siasatan dibuka atas kesalahan memiliki CSAM mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan kesalahan memiliki bahan lucah mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Katanya, operasi bersepadu itu bagi menjejaki pesalah seksual terhadap kanak-kanak membabitkan aktiviti dalam talian, selain memberi kesedaran kepada ibu bapa, masyarakat dan penyedia platform berhubung tanggungjawab melindungi keselamatan golongan bawah umur.
“Orang ramai terutamanya golongan remaja dan kanak-kanak dinasihat meningkatkan kawalan kendiri, menjaga batas moral dan adab bersosial dalam talian bagi mengelakkan diri menjadi mangsa jenayah serta melaporkan sebarang penyalahgunaan rangkaian kepada pihak berkuasa.”