
Anwar berkata, beliau telah berada di Pulau Langkawi untuk pertemuan itu, namun Prabowo malam tadi memohon penangguhan beberapa hari kerana keadaan kesihatannya kurang baik.
“Mendoakan agar Presiden Prabowo diberi kesembuhan secepat mungkin dan dapat meneruskan pertemuan antara dua negara ini,” katanya dalam hantaran Facebook.
Anwar turut memaklumkan beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra di Langkawi Khamis ini.
Sabtu lalu, Anwar dalam sidang media khas di Subang, Selangor memaklumkan beliau akan menemui Prabowo dan Thaksin untuk membincangkan isu strategik serantau serta perkembangan Asean.
Katanya, pertemuan dua hala dengan Prabowo akan memfokuskan pengukuhan hubungan baik kedua-dua negara, selain membincangkan peranan penting Indonesia sebagai negara anggota Asean yang strategik.
Pertemuan dengan Thaksin pula dijangka menyentuh pelbagai isu pembangunan serantau serta pendekatan diplomatik untuk menangani cabaran bersama.
Baru-baru ini, Anwar mengumumkan pelantikan Thaksin sebagai penasihat tidak rasminya dalam mempengerusikan Asean pada 2025.
Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan pengerusi Asean pada 1 Jan ini dengan tema Kepimpinan Asean 2025 Malaysia adalah ‘Keterangkuman dan Kelestarian’.
Sebelum ini, Malaysia memegang jawatan pengerusi Asean pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.