Nelayan OKU hanyut sampai Aceh, ibu tak benar lagi ke laut

Nelayan OKU hanyut sampai Aceh, ibu tak benar lagi ke laut

Hanita Ismail berkata dia tidak mahu kejadian anaknya bersama seorang lagi rakan hanyut selama enam hari berulang.

Ikmal Hakimi Ismail
Hanita Ismail, 47, nekad tidak mahu anaknya, Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, kembali menjadi nelayan susulan insiden bot hanyut masuk perairan Indonesia. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Ibu kepada seorang nelayan dihanyutkan selama enam hari sebelum ditemui selamat semalam tidak akan membenarkan Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, meneruskan kerja sebagai nelayan, bimbang kejadian sama berulang.

Hanita Ismail, 47, berkata Ikmal masih muda dan belum mahir mengenai keadaan laut, malah anaknya itu tidak sesuai menjadi nelayan kerana berstatus orang kurang upaya (OKU) iaitu masalah pembelajaran.

“Saya memang tidak akan benarkan dia (Ikmal) untuk turun ke laut lagi selepas ini, cukuplah dengan apa yang berlaku kerana saya tidak mahu kehilangan dia…enam hari ini dia hanyut pun macam-macam saya fikir dan rasa, rasa macam hilang nyawa lepas tahu dia tak dijumpai, serta hanya menangis setiap hari.

“Jadi biarkan meneruskan tugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sahaja selepas ini kerana kerjaya nelayan tidak sesuai buat anaknya dan kami orang darat bukan orang laut,” katanya yang menangis gembira selepas dapat berjumpa kembali anaknya.

Beliau ditemui di Jeti Limbungan Batu Maung selepas menyambut ketibaan Ikmal dan Nor Hasrul Abdullah yang dibawa pulang dari Aceh, Indonesia, dengan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang.

Hanita berkata, beliau juga hanya tidur selama dua jam sahaja semalam kerana tidak sabar bertemu anak keempat daripada lima beradik itu dan berulang kali mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu menyelamatkan anaknya.

Sementara itu, ibu kepada Nor Hasrul, Noor Azilah Jamaluddin, 44, berkata beliau akan membenarkan anak sulungnya itu untuk terus turun ke laut kerana menjadi nelayan adalah minat anaknya.

“Cuma saya mahu dia tingkatkan keselamatan sebelum turun ke laut dan apa yang berlaku adalah pengalaman berharga kepada mereka,” katanya.

Ikmal dan rakannya Nor Hasrul dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka di perairan Kerachut, Kuala Sungai Pinang dekat sini hanyut dalam kejadian pada 16 Dis, kemudiannya ditemui selamat di perairan Aceh semalam, sebelum dibawa pulang ke pangkuan keluarga masing-masing kira-kira 8 pagi tadi.

Bot hanyut jauh

Sementara itu, Ketua Polis Timur Laut Sazalee Adam, berkata bot dua nelayan itu telah memasuki sempadan Aceh iaitu sejauh 60 batu nautika daripada negeri ini sebelum mereka diselamatkan nelayan di sana kira-kira 9 pagi semalam.

Beliau memaklumkan mereka juga berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan, namun agak kelesuan.

“Jarak mereka melepasi sempadan ke Aceh pun agak jauh juga dan diselamatkan oleh nelayan di sana sebelum memaklumkan kepada kami di sini, APMM terus ke perairan sempadan negara untuk mengambil kedua-duanya semalam.

“APMM telah berjaya menyelamatkan dua nelayan pada 8 malam tadi sebelum membawa mereka pulang dan sampai di Jeti Limbongan Batu Maung pada 3 pagi. Mangsa diberikan pemeriksaan awal oleh pasukan perubatan sebelum dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Sabtu lalu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan berkenaan dihentikan selepas tiada sebarang petunjuk ditemukan untuk mengesan mereka selepas pasukan keselamatan menjalankan operasi SAR selama lima hari meliputi kawasan seluas 4,802 batu nautika atau 8,884 kilometer persegi, namun gagal menemukan kedua-dua mangsa dan bot mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.