Tak salah ‘derma jihad’ bantu Siti Mastura bayar saman, kata mursyidul am PAS

Tak salah ‘derma jihad’ bantu Siti Mastura bayar saman, kata mursyidul am PAS

Sikap bantu-membantu sudah menjadi amalan PAS sebagai parti Islam, kata Hashim Jasin.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata ‘derma jihad’ yang dimohon untuk membantu Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad bukan paksaan terhadap ahli parti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata tidak salah ahli semua peringkat parti itu menyumbang dalam ‘derma jihad’ kepada Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad yang kalah dalam kes saman fitnah difailkan tiga pemimpin DAP.

Katanya, hal ini kerana sikap bantu-membantu sudah menjadi amalan PAS sebagai parti Islam.

“Iya, sepatutnya kita pakat tolong dia. Bagi saya tak salah pun kalau nak bantu, bukan dipaksa,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, tersebar surat pekeliling yang dihantar kepada pemimpin utama pusat, negeri dan sayap PAS memohon ‘derma jihad’ bagi membiayai kewajipan Siti Mastura membayar RM825,000 dengan segera, yang diperintahkan oleh mahkamah

Menurut surat itu lagi, kegagalan membayar saman akan menyebabkan plaintif mengambil tindakan prosiding kebankrapan yang boleh menyebabkan Siti Mastura hilang kelayakan sebagai wakil rakyat, dan kerusinya akan dikosongkan.

“Pihak PAS telah membincangkan perkara ini dengan teliti dan memutuskan bahawa PAS pada semua peringkat perlu turut sama mengambil tanggungjawab menyelesaikan tuntutan tersebut.

“(Ia) memandangkan Siti Mastura, yang didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah terhadap DAP, melakukannya dalam keadaan yang berasas semasa menunaikan tanggungjawab terhadap parti dan perjuangan, iaitu pada kempen PRK Kemaman pada 4 Nov 2023,” menurut surat itu.

Dalam pada itu, Hashim mengakui belum menerima surat tersebut daripada pusat namun beliau sudah dimaklumkan mengenainya.

Pada 4 Dis lalu, Siti Mastura kalah dalam kes saman fitnah difailkan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok berhubung ucapannya yang mengaitkan mereka dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng.

Mahkamah Tinggi mengarahkan Siti Mastura membayar ganti rugi berjumlah RM750,000 kepada pemimpin DAP tersebut iaitu RM300,000 kepada Kit Siang, RM250,000 kepada Guan Eng, dan RM200,000 kepada Kok.

Siti Mastura juga diperintahkan membayar kos guaman sebanyak RM25,000 setiap seorang untuk ketiga-tiga plaintif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.