BN tak boleh bergantung pada kekuatan pihak lain, kata Pemuda MCA

BN tak boleh bergantung pada kekuatan pihak lain, kata Pemuda MCA

Kepimpinan BN harus fokus pada memantapkan parti sebelum bergantung pada pihak lain untuk menang PRU, Neow Choo Seong.

neow choo seong
BN perlu tegas dalam memastikan identiti parti jelas dan dihormati untuk memberi kekuatan dalam sebarang bentuk kerjasama politik, kata Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong.
PETALING JAYA:
Pemuda MCA mengingatkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) agar tidak terlalu bergantung kepada pihak lain untuk memenangi PRU akan datang.

Ketua penerangannya, Neow Choo Seong turut menyarankan kepimpinan BN supaya fokus kepada memantapkan kekuatan parti untuk mengembalikan zaman kegemilangan gabungan itu.

“Politik yang dinamik dan sering berubah ini menuntut kita supaya jangan terlalu bergantung harap kepada pihak lain untuk memenangi PRU akan datang, sedangkan kita sendiri tidak berusaha memantap dan memperkukuh parti.

“Memperkuat dan memantapkan parti dilihat sebagai perkara pokok yang perlu dilakukan oleh barisan kepimpinan BN sebelum bergantung harap kepada pihak lain untuk bangkit serta kembali kepada zaman kegemilangan,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Neow yang juga pengarah komunikasi Pemuda BN berkata, BN perlu tegas dalam memastikan identiti parti jelas dan dihormati untuk memberi kekuatan dalam sebarang bentuk kerjasama politik.

“Pemuda MCA turut berpendapat pengaruh dan sokongan parti pada peringkat akar umbi juga perlu diperkukuh.

“Hanya dengan sokongan akar umbi dan rakyat mampu menjadikan BN kekal relevan,” katanya.

Semalam, Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan dilaporkan menyeru ahli gabungan itu supaya membina ketenangan dan kesepakatan walaupun berbeza pandangan, yang menurutnya penting untuk memperoleh semula kekuatan.

“Perselisihan faham itu biasa tapi jangan menyebabkan parti kita jadi lemah,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa tiada orang mahu menyokong parti yang lemah dan kepimpinan saling bertelagah.

“Tidak ada siapa yang akan menyokong parti yang akan rebah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.