12 kes tuntutan libat kontraktor rumah di tribunal pengguna

12 kes tuntutan libat kontraktor rumah di tribunal pengguna

Kes penipuan berlaku disebabkan kebanyakan pemilik mendapatkan khidmat kontraktor tidak berdaftar, kata pengarah KPDN Melaka.

Sebanyak 12 kes melibatkan kontraktor rumah membabitkan nilai tuntutan berjumlah RM237,794 direkodkan bagi tempoh 1 Jan hingga hari ini. (Gambar Facebook)
MELAKA:
Sebanyak 12 kes melibatkan kontraktor rumah direkodkan bagi tempoh 1 Jan hingga hari ini, membabitkan nilai tuntutan berjumlah RM237,794, berbanding 16 kes dengan nilai tuntutan RM445,367.90 pada tahun lepas.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar, berkata daripada 12 kes tuntutan difailkan menerusi Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM) itu, sebanyak sembilan kes berjaya diselesaikan, manakala tiga lagi masih dalam proses tuntutan.

“Di bawah TTPM, pelbagai kes kepenggunaan diterima, antaranya berkaitan penipuan mekanik, umrah dan kes tertinggi yang direkodkan pada tahun ini ialah melibatkan kontraktor rumah, antaranya membabitkan kerja-kerja pembinaan atau pembaikan.

“Kes penipuan kontraktor rumah yang berlaku disebabkan kebanyakan pemilik mendapatkan khidmat kontraktor tidak berdaftar, kenal kontraktor menerusi individu lain dan ada yang mengenali kontraktor terlibat di Facebook, selain perjanjian direkodkan antara mangsa dan kontraktor bagi kerja-kerja pembinaan yang dilakukan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 yang disempurnakan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka Allex Seah Shoo Chin.

Norena berkata menerusi TTPM, jumlah tuntutan kerugian yang diterima bagi kes membabitkan penipuan kontraktor rumah adalah di bawah RM50,000 dan tuntutan dibuat di bawah Akta Perlindungan Pengguna.

Beliau berkata walaupun terdapat penurunan kes tuntutan kerugian melibatkan kontraktor rumah pada tahun ini berbanding tahun lepas, namun orang ramai dinasihatkan berhati-hati memilih kontraktor dan memastikan kontraktor terbabit berlesen serta mempunyai rekod prestasi yang baik.

Sementara itu, beliau menyatakan secara keseluruhan sebanyak 371 kes tuntutan meliputi pelbagai kes difailkan di bawah TTPM dalam tempoh 1 Jan hingga hari ini berbanding 361 kes sepanjang tahun lepas.

Dalam perkembangan lain, Norena berkata 343 kes kepenggunaan direkodkan di bawah pelbagai akta KPDN dengan nilai kompaun sebanyak RM248,300, manakala nilai rampasan ialah RM775,815.15 bagi tempoh 1 Jan hingga 20 Dis lepas.

“Kes tertinggi direkodkan ialah di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan iaitu sebanyak 164 kes melibatkan nilai kompaun sebanyak RM53,100, manakala nilai rampasan berjumlah RM2,269.85.

“Kita juga memeriksa 28,808 premis perniagaan dan sebanyak 1,639 aduan diterima pada tahun ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.