Sim bantu 7 sekeluarga tinggal dalam kereta

Sim bantu 7 sekeluarga tinggal dalam kereta

Ahli Parlimen BM mencarikan rumah baharu untuk keluarga itu dengan bantuan sewa setahun, selain mendapatkan kerja baharu bagi ketua keluarganya.

Tujuh sekeluarga terpaksa tinggal di dalam kereta kerana ditipu tuan rumah sewa mereka, sebelum dibantu oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim. (Gambar Facebook)
BUKIT MERTAJAM:
Keperitan tujuh sekeluarga yang terpaksa tinggal di dalam kereta selepas ditipu tuan rumah mendapat perhatian Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim yang membantu menyediakan rumah dan mendapatkan pekerjaan buat si bapa.

Menerusi perkongsian di Facebook, Sim yang juga menteri sumber manusia berkata, ketua keluarga itu, yang dikenali sebagai Hilmi, sebelum ini seorang pemandu lori dan mahu membawa keluarganya berpindah dari Kelantan ke Pulau Pinang termasuk menyewa rumah yang lebih selesa untuk mereka.

Malangnya, menurut Sim, mereka ditipu tuan rumah dan dihalau meskipun deposit sewa telah dibayar.

“Maka dari situ, bermulalah kisah derita keluarga muda ini. Mereka tujuh sekeluarga tinggal dalam kereta usangnya. Bumbung ada, cermin tingkap tiada, malah cermin belakang pun dah pecah. Nak baiki tidak mampu, jadi tutup dengan plastik putih dililit pelekat.

“Oleh sebab hidup berkelana dalam kereta usang, Hilmi akhirnya terpaksa melepaskan kerja sebagai pemandu lori tetapi beliau tidak berputus asa. Kereta usang yang jadi rumah itu, kereta itu juga dibawa ke sana ke sini buat Lalamove,” menurut hantaran Sim.

Tambahnya, anak-anak pasangan tersebut berusia antara dua hingga sembilan tahun dan dua daripada mereka terpaksa berhenti sekolah disebabkan keadaan itu.

Menurut Sim, sebaik mendapat aduan mengenai keluarga itu, beliau terus ke lokasi mereka dan mendapati keluarga itu duduk beralaskan kain rentang buruk di tepi kereta.

Tersentuh dengan kisah keluarga itu, Sim mencarikan rumah baharu dengan bantuan sewa setahun, membelikan perkakasan rumah dan mendapatkan kerja buat Hilmi di sebuah syarikat lori.

Anak-anaknya turut dibantu untuk bersekolah semula.

Sim turut menyerahkan bantuan kewangan bagi meringankan beban mereka serta membelanja mereka sekeluarga makan tengah hari pada pertemuan hari ini.

“Bila saya serahkan kunci rumah, Hilmi menitiskan air mata dan saya sempat titipkan (kata-kata) kepadanya usah bersedih,” katanya.

“Kini masanya untuk membina semula kehidupan malah malam ini saya gembira mengetahui Hilmi dan isteri, Yani (serta anak-anak mereka) tidak lagi hidup berbumbungkan langit beralaskan kain usang di tepi jalan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.