
Pengarah Urusan Malaysia Aviation Group (MAG) Izham Ismail berkata, syarikat penerbangan itu mengenal pasti tiga isu teknikal berkaitan kualiti pengeluaran kilang dan penghantaran pesawat.
“Malaysia Airlines menghadapi beberapa siri isu teknikal yang timbul akibat kualiti kerja yang buruk daripada kilang dan perkara ini memberi kesan kepada penerbangan sulung pesawat itu.
“Pesawat itu kini tidak dibenarkan terbang untuk (kerja-kerja) pembaikan (dijalankan). Kita memerlukan Airbus dan Rolls-Royce untuk menyiasat punca utama isu ini pada pesawat baharu itu,” katanya, lapor New Straits Times.
Beliau berkata, isu sebegini berlaku pada pesawat baharu tidak boleh diterima dan pengeluar peralatan tulen (OEM) mesti dipertanggungjawabkan.
“Punca (isu ini) di kilang dan ia menjejaskan reputasi dan jenama Malaysia Airlines,” katanya menambah, pihaknya tidak akan mengambil sebarang risiko berkait keselamatan.
Pada 19 Dis, MAG mengadakan sambutan besar-besaran memperkenalkan pesawat A330neo baharunya, yang dikuasakan oleh enjin Rolls-Royce Trent 7000.
Acara yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu turut dihadiri eksekutif kanan Airbus, Rolls-Royce, dan pemberi pajak pesawat Avolon.
A330neo, yang pertama daripada 20 pesawat ditempah pada 2022, membuat perjalanan sulungnya dari Kuala Lumpur ke Melbourne dengan penerbangan MH149, namun ia tidak dapat dilengkapkan selepas mengalami masalah teknikal melibatkan enjin dan sistem hidraulik.
Masalah teknikal berlaku lagi pada keesokan harinya, mengakibatkan pesawat itu tidak dibenarkan terbang sebaik pulang ke Kuala Lumpur agar kerja pembaikan dapat dijalankan.
Isu teknikal yang berterusan dengan pesawat itu menyebabkan Malaysia Airlines membatalkan penerbangan MH149 ke Melbourne pada 21 Dis.
Jurucakap Airbus berkata, pihaknya bersedia menyokong Malaysia Airlines mengatasi sebarang masalah teknikal pesawat baharu itu.
Izham berkata, buat masa ini, penerbangan ke Melbourne dari Kuala Lumpur akan dibuat menggunakan pesawat model lain.