
Menurut laporan, perkara itu disahkan Ismail Ibrahim, 51, bapa kepada Ikmal, selepas mendapat pemakluman polis, sekitar 10 pagi.
Katanya, tiada perkataan lain dapat diungkapkan selain rasa syukur kepada Allah selepas mendapat berita anaknya dan Nor Hasrul selamat.
“Saya sujud syukur kepada Allah apabila mendapat berita mereka selamat dan pihak APMM Malaysia kini dalam perjalanan untuk membawa mereka pulang ke negara ini. Terima kasih juga kepada semua pihak yang membantu dalam operasi mencari dan menyelamat ini,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Ikmal yang juga berstatus orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran dan rakannya, Nor Hasrul sebelum ini dilaporkan hilang selepas bot dinaiki hanyut akibat dibadai ribut dalam kejadian 11.30 malam, Selasa lalu.
Ismail berkata, firasat isterinya, Hanita Ismail, 47, sejak awal anak lelaki mereka masih hidup ternyata benar.
“Itulah yang dikatakan naluri seorang ibu. Memang kami sangat bersyukur kepada Allah yang memakbulkan doa kami dan kita semua,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Barat Daya Sazalee Adam, berkata satu sidang akhbar mengenai penemuan dua pemuda tersebut dijangka diadakan di jeti Batu Maung, kira-kira 8 pagi esok.