Perjelas pembebasan Rosmah atau berisiko hilang sokongan, PH dan DAP diberitahu

Perjelas pembebasan Rosmah atau berisiko hilang sokongan, PH dan DAP diberitahu

Dua pemimpin DAP berkata Pakatan Harapan dan parti itu mesti memberikan respons pantas yang boleh didengari, bukan berdiam diri, untuk menangani kekecewaan pengundi.

DATIN SERI ROSMAH MANSOR
Pada Khamis, Mahkamah Tinggi membebaskan Rosmah Mansor daripada daripada 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin kanan DAP meminta Pakatan Harapan (PH) dan parti itu memberi penjelasan kepada penyokong berhubung asas pembebasan Rosmah Mansor daripada 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

Pemimpin yang enggan namanya disiarkan berkata jika tidak dijelaskan, ia akan menjejaskan agenda reformis PH dan menghakis keyakinan orang ramai terhadap komitmen kerajaan dalam keadilan dan kedaulatan undang-undang.

“DAP membina kempennya pada pilihan raya lalu mengenai 1MDB, Najib dan Rosmah. Orang yang mengundi PH untuk membawa perubahan akan berasa kecewa,” kata pemimpin itu kepada FMT.

Beliau berkata kegagalan memuaskan pengundi akan memberi kesan ketara kepada kredibiliti parti dan gabungan itu, berikutan peranan utama yang dimainkan mereka dalam memperjuangkan reformasi anti-rasuah.

Pemimpin itu juga berkata kekecewaan pengundi amat ketara di kawasan bandar dan terutamanya di kalangan pengundi muda yang kecewa dengan kekurangan reformasi.

“Ramai yang berkata: ‘Saya tidak tahu siapa yang hendak diundi, jadi (lain kali) saya akan duduk rumah.’ Ini adalah trend berbahaya untuk PH.

“DAP berada di barisan hadapan dalam isu-isu reformis ini, lebih-lebih lagi daripada PKR atau Amanah. Jika kita berdiam diri sekarang, ia lebih teruk. Pengundi bandar mengharapkan kita untuk berdiri teguh dan apabila ia tidak dilakukan, ada harga yang perlu dibayar.”

Seorang Adun DAP, yang juga enggan namanya disiarkan, menyifatkan masa keputusan itu amat merugikan kerajaan.

“Ini adalah masa yang buruk untuk (Perdana Menteri) Anwar (Ibrahim). Penjawat awam bertungkus lumus mengumpul semua maklumat bagi kes itu, dan tiba-tiba kes itu dibuang ,” katanya kepada FMT.

Adun itu memberi amaran bahawa PH mungkin akan melihat tindak balas pada PRU akan datang, memetik peratusan keluar mengundi yang rendah pada PRK Sungai Bakap sebagai mencerminkan kekecewaan yang semakin meningkat terhadap gabungan itu.

Kedua-dua pemimpin menggesa PH dan DAP bertindak pantas, dengan tokoh kanan parti itu berkata pengundi mengharapkan tindakan yang ‘boleh didengar, bukan senyap’.

“Tahun depan adalah kritikal. Jika PH tidak bertindak tegas, ia berisiko kehilangan bukan sahaja pengundi bandar tetapi juga kepercayaan yang menjadi teras kepada gerakan Reformasi,” katanya.

Pada Khamis, Mahkamah Tinggi membebaskan Rosmah daripada semua pertuduhan itu tanpa melalui perbicaraan.

Hakim K Muniandy berkata, pertuduhan dikenakan terhadap isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu adalah menyalahi undang-undang, cacat dan tidak mendedahkan pelakuan apa-apa kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.