
Menjawab pihak yang menuduhnya tidak berbuat apa-apa untuk menghentikan pelantikan Musa Aman, perdana menteri berkata, ada had bagi apa yang boleh dilakukannya.
“Tiba-tiba, ketua menteri cadang satu nama. Saya tanya dia, ada nama lain tak? Sudah tentu ada, dua atau tiga nama (katanya). Bila surat sampai, hanya ada satu nama.
“Tapi, bolehkah saya nasihati Agong, ‘Bolehkah kita pertimbang nama lain?’ Dengan kelulusan negeri? Sudah tentu boleh.
“Adakah saya buat begitu? Saya buat,” katanya pada sidang media hari ini.
Anwar berkata, pertimbangan yang sama turut wujud dalam pelantikan Jemaah Menteri.
“Saya rasa mesti jelas kerana begitu banyak kemarahan berhubung keputusan mahkamah (membebaskan Rosmah) serta pelantikan (Musa),” katanya.
Musa, yang juga bekas ketua menteri Sabah paling lama berkhidmat, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri ke-11, menggantikan Juhar Mahiruddin, yang penggalnya akan tamat akhir bulan ini.
Pelantikannya dikritik sesetengah pihak, memetik tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadapnya sebelum ini.
Pada 2020, Jabatan Peguam Negara membebaskan Musa daripada semua 46 tuduhan berkait konsesi balak.