
Dalam surat kepada Bukit Aman, JHEV menggesa polis menghentikan perhimpunan tersebut dijadual pada Isnin.
Ketua Pengarah JHEV Semaon Marjuki, berkata Pertubuhan Pembela Pejuang Malaysia (PPPM) tidak mempunyai locus standi untuk mengadakan protes memandangkan tidak berdaftar dengan jabatan itu sebagai badan mewakili bekas anggota tentera.
Katanya, perhimpunan dirancang itu berkaitan bantahan kaedah pengiraan penyelarasan pencen berdasarkan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baru berkuat kuasa.
“Hanya persatuan veteran yang berdaftar sahaja dibenarkan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti veteran. Pertubuhan tersebut (PPPM) bukan merupakan entiti didaftarkan di bawah Akta 740 (Akta Veteran 2012).
“Sehubungan itu, jabatan memohon pihak tuan (Bukit Aman) untuk tidak membenarkan perhimpunan tersebut dilaksanakan. Jabatan ini membantah dan tidak menyokong aktiviti perhimpunan tersebut,” kata surat bertarikh 18 Dis yang dilihat FMT.
Ketika dihubungi, wakil PPPM berkata pihaknya tiada kena mengena dengan mesej kepada semua bekas anggota tentera itu, sebaliknya hanya meminta mereka berkumpul di Ibu Pejabat JHEV.
Katanya, ia berasal daripada kumpulan bebas veteran yang meminta penjelasan daripada ketua pengarah melibatkan kejanggalan dalam pencen yang menjejaskan mereka yang bersara sebelum 2013 yang belum diselesaikan.
Dalam mesej WhatsApp mendakwa, jumlah diumumkan kurang daripada sepatutnya berhak diterima, selain mengatakan kerajaan melanggar Peraturan-peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-faedah Lain) 1982.
Katanya, apa yang mereka mahukan adalah jawapan daripada pihak jabatan yang menguruskan hal ehwal veteran.
Kata mesej itu, pihak berkuasa akan beranggapan semua veteran terkesan akan menerima bayaran pencen lebih rendah, jika mereka tidak menuntut hak mereka sepatutnya.