Ismail seru PM terus angkat cadangan jadikan BM bahasa kedua Asean

Ismail seru PM terus angkat cadangan jadikan BM bahasa kedua Asean

Bekas perdana menteri itu berharap Malaysia dapat menjadi contoh kepada negara Asean lain yang turut mempunyai penutur BM.

Ismail Sabri Yaakob turut berharap pemimpin kerajaan menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu pada majlis-majlis rasmi dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan di negara ini.
PETALING JAYA:
Ismail Sabri Yaakob menyarankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terus mengangkat cadangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua Asean sempena kepengerusian Asean oleh Malaysia tahun depan.

Ismail berkata, ketika menjadi perdana menteri pada 2022, beliau pernah membincangkan perkara ini dengan bekas presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi).

Katanya, usaha itu secara tidak langsung dapat meningkatkan martabat Bahasa Melayu di rantau Asean.

“Saya haraplah perdana menteri boleh suarakan pandangan ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pertubuhan Aspirasi Bahasa Melayu Malaysia.

“Sekiranya tak jadi agenda Utama Asean pun, sekurang-kurangnya pemimpin kita bercakap dalam sidang Asean nanti dalam bahasa Melayu. Dengan itu mungkin boleh mempengaruhi negara-negara lain, seperti Thailand dan Kemboja, yang juga mempunyai ramai penutur bahasa Melayu.”

Mengulas lanjut mengenai usaha memperkasakan bahasa Melayu di Malaysia, beliau turut berharap pemimpin kerajaan menggunakan sepenuhnya Bahasa itu dalam majlis-majlis rasmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.