
Dalam dua serbuan itu, polis turut merampas dua ekor burung murai batu yang disyaki disimpan tanpa permit serta pelbagai ubat-ubatan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).
Serbuan itu dilakukan menerusi Op Taring Bravo 3 (senjata tiruan), Op Bersepadu Khazanah (OBK) dan Op Taring Dos (ubat-ubatan) oleh Wildlife Crime Bureau (WCB) dan Perisikan Siasatan Khas (PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.
Pengarah JKDNKA Bukit Aman, Azmi Abu Kassim, berkata serbuan pertama membabitkan sebuah premis dan seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki menjual senjata tiruan dalam talian.
“Sebanyak 32 laras senjata tiruan telah dirampas. Siasatan awal mendapati suspek menjalankan perniagaan menjual senjata tiruan melalui platform dalam talian sejak beberapa bulan lalu.
“Hasil pemeriksaan lanjut, kita menemui dua ekor burung murai batu yang disyaki disimpan tanpa permit sah mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Turut dirampas beberapa kotak yang mengandungi ubat-ubatan tanpa kelulusan KKM. Kes disiasat mengikut Peraturan Peraturan 1(a) Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Manakala dalam serbuan kedua di Jalan Raja Laut pula, Azmi berkata pihaknya menahan dua lelaki termasuk warga asing dan merampas 637 laras senjata tiruan yang disyaki turut dijual secara dalam talian.
“Keseluruhan nilai rampasan bagi kedua-dua operasi ini dianggarkan berjumlah RM436,971,” katanya.
Katanya, kedua-dua kes rampasan senjata tiruan disiasat mengikut Akta Senjata 1960.
“Kita memberi jaminan akan mempergiatkan risikan dan operasi bagi menjejaki serta membanteras kegiatan ini dengan lebih fokus dan berkesan demi keselamatan masyarakat dan ketenteraman awam.
“Orang awam digalakkan memberi maklumat kepada polis untuk membantu membanteras jenayah ini sepenuhnya,” katanya.