
Ketua Polis Cheras, Aidil Bolhassan, berkata pihaknya menerima aduan kejadian itu daripada seorang anggota polis bantuan pada 3.40 pagi tadi.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku sekitar 12.03 tengah malam ketika pengadu menaiki tren dari Stesen LRT Bukit Jalil menghala ke Sentul Timur.
“Apabila tren tiba di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, sekumpulan penyokong keluar dari tren dan berlaku pertengkaran dengan sekumpulan penyokong lain sebelum berlaku pergaduhan.
“Kemudian dua kumpulan penyokong bola sepak anggaran 20-30 orang bertindak agresif bertumbuk antara satu sama lain, membaling tong sampah, penghadang pintu lif ke arah tren serta menendang pintu tren.
“Perbuatan itu mengakibatkan berlaku kerosakan pada bahagian pintu cermin tren serta menyebabkan tren terhenti lebih kurang lapan minit,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Berita Harian.
Beliau berkata pergaduhan itu dileraikan oleh pengadu bersama beberapa polis bantuan bertugas sebelum keadaan kembali terkawal selepas pintu tren tertutup.
“Selepas tren bergerak, pengadu serta rakan setugas polis bantuan mengiring penyokong tersebut keluar dari Stesen LRT Bandar Tasik Selatan dengan selamat.
“Polis masih meneruskan siasatan termasuk pengesan pelaku. Kita juga minta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial menunjukkan insiden pergaduhan antara dua kumpulan penyokong bola sepak di sebuah stesen LRT.
Sebelum itu perlawanan terakhir Kumpulan A Piala AFF 2024 antara pasukan Malaysia menentang Singapura berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, yang menyaksikan keputusan seri tanpa jaringan.
Ia menyebabkan pasukan Malaysia gagal menempah tiket ke perlawanan separuh akhir, seterusnya menamatkan kempen kali ini di kedudukan ketiga.