
Anwar berkata, keputusan itu tertakluk pada kuasa mahkamah dan pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu tidak wajar menyamakan pentadbirannya dengan pentadbiran terdahulu berkaitan kes-kes di mahkamah.
“Saya tidak menemui mana-mana hakim, saya tidak bicara dengan ketua hakim negara dalam soal keputusan mahkamah.
“Kita hormati keputusan mahkamah. Kalau dirasakan perlu membuat rayuan, itu keputusan peguam negara,” katanya kepada pihak media selepas melancarkan buku Lim Kit Siang: ‘Malaysian First’ Jilid 1 dan 2 hari ini.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Rosmah daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim K Muniandy membenarkan permohonan isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu untuk membatalkan kesemua tuduhan berkenaan.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut hari ini.
Sementara itu, Anwar memaklumkan pelantikan Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah adalah bawah bidang kuasa negeri dan Yang di-Pertuan Agong.
“Apakah perdana menteri tak tahu? Perdana menteri tahu. Memang dirujuk. Tapi perdana menteri yang tahu ini pun, tahu Perlembagaan dan batasannya (kuasa perdana menteri).
“Sekarang, setelah Agong perkenan, apa pendirian saya? Saya terima baik keputusan Agong dan mendoakan sebaiknya supaya Musa akan menjadi seorang Yang Dipertua Negeri yang baik untuk Sabah,” katanya.
Anwar berkata, keputusan mahkamah membebaskan Musa daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram pada 2020 adalah ketika pemerintahan kerajaan terdahulu.