
Presiden Syed Hussain Syed Husman berkata, ia penting memandangkan sektor swasta umpama pengguna utama graduan institusi pendidikan tinggi (IPT) yang menawarkan kira-kira 90% peluang pekerjaan kepada mereka.
Katanya, jurang antara pengetahuan akademik dengan kemahiran dan pengetahuan graduan yang diperlukan di pasaran kerja perlu ditangani segera.
“Budaya kerja di sektor swasta adalah berbeza dengan ekosistem pembelajaran di IPT.

“Penerapan eleman kemahiran insaniah mahupun nilai seiring keperluan sektor swasta akan menjadikan graduan lebih pintar di alam kerja dan memastikan mereka lebih berkesan dalam dunia komersial,” katanya kepada FMT.
Syed Hussain berkata, kolaborasi itu turut penting dalam memastikan kelancaran peralihan graduan daripada pengajian di IPT ke alam pekerjaan tanpa memerlukan kos dan masa latihan yang banyak.
Pada 16 Dis, Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir, berkata kementerian akan memanfaatkan kepakaran tempatan untuk merangka pelan pendidikan berkenaan yang akan menentukan hala tuju pendidikan tinggi negara bagi 10 tahun akan datang.
Katanya, pakar tempatan dihimpunkan dalam suatu jawatankuasa khas, yang akan merangka pelan itu mengikut keperluan semasa dengan kerjasama pelbagai pihak.

Sementara itu, pakar pendidikan Hasnah Toran dari Universiti Kebangsaan Malaysia mencadangkan, pelan tersebut mengambil kira dasar ekosistem dan persekitaran orang kurang upaya (OKU) bagi memastikan golongan terbabit tidak ketinggalan akses pengajian tinggi.
Kataya, golongan OKU juga berhak menerima perkhidmatan dan sokongan yang diperlukan untuk berjaya.
“Pelan itu juga harus membuka peluang kepada pelajar universiti memperoleh pendedahan global seperti pertukaran antarabangsa dan sebagainya.
“Juga penekanan untuk menghasilkan graduan yang mampu menjadi usahawan, bukan sekadar graduan hanya mencari pekerjaan,” katanya.