
Bank pusat itu berkata, penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) dikehendaki mengagihkan kenaikan premium dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun.
“Langkah ini akan dilaksanakan sehingga akhir 2026. Menerusi langkah ini, sekurang-kurangnya 80% pemegang polisi dijangka menghadapi pelarasan premium tahunan yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan sebanyak kurang 10%.
“Bagi pemegang polisi berumur 60 tahun ke atas dan dilindungi bawah pelan minimum, ITO akan menangguhkan pelarasan premium untuk sementara waktu, iaitu selama satu tahun daripada ulang tahun polisi mereka,” kata BNM dalam kenyataan.
BNM berkata, langkah-langkah interim ini tidak terpakai bagi kenaikan premium yang boleh dikenakan apabila pemegang polisi beralih ke kategori umur lebih tinggi.
Katanya, pemegang polisi yang telah luput pada tahun ini disebabkan oleh penetapan semula premium boleh menghubungi ITO masing-masing untuk memohon polisi mereka diaktifkan semula berdasarkan premium yang dilaraskan.
“Semua ITO akan menyediakan produk alternatif yang bersesuaian pada premium yang sama atau lebih rendah bagi pemegang polisi yang tidak berminat untuk meneruskan pelan sedia ada dan yang premiumnya telah ditetapkan semula.
“ITO yang tidak menyediakan produk alternatif yang sesuai pada masa ini hendaklah menawarkan produk tersebut kepada pemegang polisi selewat-lewatnya pada hujung 2025.
“Pertukaran kepada produk alternatif tidak memerlukan sebarang pengunderaitan (underwriting) tambahan atau melibatkan apa-apa kos pertukaran,” katanya.
Bank pusat berkata, inflasi perubatan Malaysia mencecah 15% tahun ini, berbanding purata global dan Asia Pasifik sebanyak 10%.
Menurutnya, peningkatan ini didorong oleh faktor-faktor seperti kemajuan dalam teknologi perubatan serta peningkatan penyakit tidak berjangkit, menyebabkan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan meningkat.
“Kesannya, tuntutan yang dibayar oleh ITO meningkat lebih pantas berbanding dengan premium yang dikumpulkan.
“Meskipun ITO memperuntukkan rizab untuk menampung peningkatan pembayaran tuntutan perubatan yang tidak dijangka, rizab ini tidak mencukupi sekiranya kos tuntutan terus melebihi anggaran.
“Oleh itu, premium produk perlu dilaraskan secara berkala bagi memastikan tuntutan pemegang polisi dapat terus dipenuhi,” katanya.
BNM berkata, langkah-langkah interim ini diperkenalkan bagi mengurangkan kesan kewangan terhadap pemegang polisi pada masa ini serta memastikan perlindungan insurans atau takaful yang berterusan.
“Bagaimanapun, langkah-langkah yang lebih menyeluruh untuk menangani kos perubatan yang semakin meningkat di Malaysia sangat diperlukan bagi menangani kenaikan premium pada masa depan dan memastikan produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan terus mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.”