Ditahan 21 tahun sudah cukup menghukum, kata abang Nazir tahanan Guantanamo

Ditahan 21 tahun sudah cukup menghukum, kata abang Nazir tahanan Guantanamo

Keluarga Nazir Lep tidak pasti sama ada dia menjalani baki lima tahun hukuman di Malaysia.

najib lep
Najib Lep berkata ahli keluarganya telah berjanji untuk melakukan yang terbaik untuk memastikan adiknya, Nazir, dipulihkan dengan betul sebelum dibebaskan dan berintegrasi ke dalam masyarakat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Keluarga Nazir Lep, seorang daripada dua rakyat Malaysia yang dihantar pulang oleh Amerika Syarikat (AS) selepas lebih 21 tahun di pusat tahanan Guantanamo Bay, telah menggesa rakyat Malaysia memberi peluang kepadanya.

Abangnya, Najib, berkata penahanan Nazir selama dua dekad tanpa perbicaraan dan dalam kurungan sendirian sudah cukup menghukum.

Tambahnya, Nazir dan seorang lagi rakyat Malaysia, Farik Amin, telah dilayan secara tidak berperikemanusiaan semasa berada di pusat tahanan.

Najib, bekas Adun Bukit Pasir di Johor, berkata ahli keluarganya gembira kerana Nazir kembali tanah air dan telah berjanji melakukan yang terbaik untuk memastikan dia dipulihkan dengan betul sebelum dibebaskan dan berintegrasi semula ke dalam masyarakat.

“Kami tidak dimaklumkan secara rasmi tentang kepulangannya. Kami hanya mengetahui mengenainya daripada media. Walau apa pun, 21 tahun penahanannya – kebanyakannya di bawah kurungan bersendirian – sudah cukup memberinya hukuman,” kata Najib kepada FMT.

“Rakyat Malaysia (Nazir dan Farik) juga dikenakan layanan tidak berperikemanusiaan dan penyeksaan semasa disoal siasat oleh CIA. Ini diakui oleh kerajaan AS. Kes itu akhirnya diselesaikan di mahkamah, jadi beri dia peluang.”

Najib berkata keluarganya telah membina sebuah rumah di mana adiknya boleh menetap dan bercucuk tanam selepas dia dibebaskan.

Dia berkata tidak ada maklumat sama ada Nazir akan menjalani baki tempoh lima tahun dikenakan mahkamah tentera AS di Guantanamo, di Malaysia.

Nazir, 47, dan Farik, 48, ditahan dalam kurungan bersendirian berikutan penahanan mereka di Thailand pada 2003 oleh pihak berkuasa AS berhubung pengeboman Bali pada tahun sebelumnya.

Pada Januari, mereka dijatuhi hukuman penjara 23 tahun oleh juri selepas mengaku bersalah terhadap peranan mereka dalam pengeboman di bawah perjanjian pra-perbicaraan. Di bawah perjanjian itu, mereka boleh dibebaskan selepas lima tahun dan dihantar pulang ke negara ketiga.

Kedua-duanya mengaku bersalah bersubahat dengan ‘dalang utama’ warga Indonesia, Encep Nurjaman, yang juga dikenali sebagai Hambali, untuk melaksanakan pengeboman Bali 2002 yang mengorbankan 202 nyawa.

Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, memaklumkan kepada Kongres bulan lalu mengenai hasrat untuk menghantar pulang Nazir dan Farik dan kedua-duanya kembali ke Malaysia pada Rabu.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Nazir dan Farik akan menjalani program integrasi semula secara menyeluruh yang dirangka Putrajaya.

Dalam catatan Facebook semalam, Saifuddin juga berkata mekanisme pemantauan telah dirangka untuk melengkapkan program integrasi semula.

“Polis akan memantau (kedua-dua mereka) secara berterusan termasuk melalui lawatan berkala bagi mengukur kemajuan pemulihan mereka dan memastikan kebajikan mereka dijaga,” katanya.

Dalam pada itu, ABC News Australia melaporkan bahawa Canberra telah meminta jaminan Malaysia bahawa kedua-dua lelaki itu dipantau dengan teliti.

Memetik jurucakap Menteri Luar Australia Penny Wong, laporan itu berkata kerajaan Australia telah ‘menyampaikan kepada AS dan Malaysia berhubung kepentingan ini beberapa kali’.

Lapan puluh lapan warga Australia adalah antara 202 yang terbunuh dalam pengeboman Bali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.