BWF gantung Daren, Jerry kerana pertaruhan, atur perlawanan

BWF gantung Daren, Jerry kerana pertaruhan, atur perlawanan

Liew Daren digantung selama 12 bulan manakala Jerry Gan selama tiga bulan.

daren liew
Menurut BWF, bekas pemain perseorangan lelaki negara Liew Daren terbabit dalam kegiatan pertaruhan sejak 2018. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menggantung bekas pemain perseorangan lelaki negara Liew Daren dan bekas penganalisis prestasi Institut Sukan Negara (ISN) Jerry Gan yang didapati bersalah terbabit dalam kegiatan pertaruhan dan pengaturan perlawanan.

Daren dikenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan manakala Jerry digantung selama tiga bulan.

Dalam kenyataan rasmi hari ini, BWF mengesahkan Daren terbabit dalam kegiatan pertaruhan sejak 2018 dan berusaha menghalang siasatan dengan menyembunyikan maklumat mengenai perlawanan badminton bermula pada 2021.

Menurut BWF, keputusan itu diumumkan oleh Panel Pendengaran Bebas (IHP) selepas mendengar kes pada 15 Nov lepas.

Sementara itu, Jerry mengakui penglibatannya dalam pertaruhan dan kegagalannya melaporkan pembabitan Daren dalam kegiatan tersebut.

“Bukti yang dikemukakan termasuk rekod panggilan telefon, dokumen kewangan dan perbualan menunjukkan penglibatan mereka dalam kegiatan haram ini,” menurut BWF.

Kes tersebut didengar pada 6 hingga 7 Jun, di mana panel mendapati Daren terbabit dalam pertaruhan, mengawal akaun pertaruhan dan menyembunyikan maklumat penting daripada BWF.

Daren juga memilih untuk tidak mengemukakan bukti langsung dalam perbicaraan itu. Panel turut tidak ragu bahawa Daren telah meletakkan pertaruhan dalam kejohanan badminton di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.