Anak gagal gali semula kubur bapa dikebumi secara Islam

Anak gagal gali semula kubur bapa dikebumi secara Islam

Anaknya mendakwa bapanya, Mahat Sulaiman, amal agama Hindu Baba Nyonya sejak lahir.

Court of Appeal
Anaknya, Mahat Sulaiman akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan bagi mendapatkan kebenaran menggali semula kubur bapanya, yang dikebumikan di perkuburan Islam di Sikamat, pada 2017.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki gagal dalam saman pemula difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban bagi menggali kubur bapanya yang dikebumikan secara Islam, tujuh tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Haldar Abdul Aziz, membenarkan permohonan pembatalan saman itu yang dikemukakan kerajaan Negeri Sembilan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

“Atas pertimbangan dan kebarangkalian, mahkamah memutuskan untuk membenarkan notis permohonan difailkan responden ketiga, kerajaan Negeri Sembilan dan responden keempat MAINS,” katanya menurut Berita Harian.

Pada 31 Julai 2023, Roseli Mahat, 51, yang beragama Hindu memfailkan saman pemula dengan menamakan lima responden iaitu kerajaan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kerajaan Negeri Sembilan, MAINS, dan ketua polis negara.

Roseli sebelum ini mendakwa bapanya, Mahat Sulaiman mengamalkan agama Hindu Baba Nyonya sejak lahir pada 1941 dan meninggal dunia sebelum dikebumikan secara Islam, pada September 2017.

Peguam mewakili kerajaan negeri, Roziaton Mohd Nordin berkata, terdapat dua isu dibangkitkan iaitu pemohon gagal menamakan pelaku kesalahan kecuaian ‘tortfeasor’ serta pemohon terhalang oleh had masa.

“Tuntutan pemohon jelas tidak berasas dan suatu penyalahan proses mahkamah, malah pemohon telah terhalang oleh had masa menurut Seksyen 2 Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948.

“Pemohon telah mengambil masa yang terlalu lama untuk memulakan tindakan ini dan hanya memulakan tindakan ini selepas enam tahun berlalu iaitu selepas melebihi 34 bulan atau hampir tiga tahun daripada berakhirnya kausa tindakan pemohon,” katanya.

Roziaton berkata, berdasarkan perenggan 19 afidavit sokongan, bapa pemohon meninggal dunia pada 9 Sept 2017, oleh yang demikian kausa tindakan pemohon terhadap responden ketiga berakhir pada 9 Sept 2020.

Barisan peguam mewakili MAINS diketuai Zainul Rijal Abu Bakar, berkata kertas kausa difailkan plaintif adalah tidak teratur dan perlu dibatalkan, sambil menegaskan penentuan sama ada si mati beragama Islam atau tidak adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Mahkamah Sivil tidak boleh masuk campur dalam hal ini dan kalau dia tidak puas hati keputusan pengebumian dibuat secara Islam, dia mesti memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman,” katanya.

Sementara itu, Peguam plaintif, S Karthigesan, memberitahu anak guamnya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Roseli dalam permohonannya memohon untuk menggali semula jenazah bapanya Mahat, yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Sikamat, Seremban.

Roseli mendakwa dia dan lima lagi adik-beradiknya adalah anak hasil perkahwinan Mahat dengan seorang ibu berketurunan India.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.