
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah dilaksanakan di peringkat daerah itu sebahagian pelan integrasi disusun oleh kerajaan terhadap Nazir Lep,47, dan Farik Amin, 48, yang dihantar pulang selepas 20 tahun ditahan.
Saifuddin berkata pelan integrasi membabitkan tiga fasa itu bertujuan memastikan pemulihan menyeluruh dan membolehkan individu berintegrasi semula ke dalam masyarakat.
Menurutnya, setiap fasa menitikberatkan keseimbangan antara pemulihan individu dan keharmonian sosial.
“Sebagai pelengkap kepada pelan ini, mekanisme pemantauan rapi turut dirangka untuk memastikan keberkesanan pelaksanaannya.
“Pemantauan secara berterusan akan dilaksanakan polis terutama di peringkat daerah termasuk pergerakan dan perhubungan subjek,” katanya di Facebook.
Semalam, Saifuddin mengumumkan kerajaan telah menerima Nazir dan Farik yang dihantar pulang oleh Amerika Syarikat (AS).
Kedua-duanya ditahan dalam kurungan sendirian di kem tahanan sejak ditangkap pihak berkuasa AS di Thailand pada 2003 berhubung pengeboman Bali setahun sebelumnya.
Pada Januari lalu, mereka dijatuhi hukuman penjara 23 tahun oleh juri selepas mengaku bersalah atas peranan mereka dalam serangan itu melalui perjanjian pra-perbicaraan. Di bawah perjanjian itu, mereka boleh dibebaskan selepas lima tahun dan dihantar ke negara ketiga.
Kedua-duanya mengaku bersalah bersubahat dengan ‘dalang utama’ warga Indonesia, Encep Nurjaman, yang juga dikenali sebagai Hambali, untuk melaksanakan pengeboman Bali 2002 yang mengorbankan 202 nyawa.