Pemilihan PKR: Siapa timbalan presiden, muka baharu bakal jadi tumpuan

Pemilihan PKR: Siapa timbalan presiden, muka baharu bakal jadi tumpuan

Ketika ini jawatan timbalan presiden PKR disandang Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang menang pada pemilihan dua tahun lalu.

Kongres khas PKR
Perwakilan PKR akan diberi mandat memilih pimpinan baharu pada pemilihan yang dijangka diadakan selepas Mei 2025. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pertembungan kerusi timbalan dan naib presiden antara akan menjadi tumpuan pemilihan PKR dijangka selepas Mei depan, selain muka baharu bakal ditonjolkan dalam berdepan PRU16, kata penganalisis politik.

Mengulas kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mahu pemilihan parti disegerakan, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berpendapat isyarat itu mungkin kerana perdana menteri mahu memantapkan kedudukan parti sebelum ke medan pilihan raya bagi mendapat mandat baharu.

Anwar dilantik perdana menteri susulan pembentukan kerajaan perpaduan pasca PRU15 membabitkan Pakatan Harapan (PH) diketuainya, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan parti kecil lain.

“Jadi, pemilihan disegerakan untuk sediakan kepimpinan gabungan muka lama dan baharu, paling penting siapa pemimpin segar diperkenalkan bagi berdepan PRU16,” kata Azmi kepada FMT mengulas perkara dinantikan ramai pada pemilihan PKR.

Oktober lalu, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata pemilihan parti akan diadakan selepas Mei depan, seiring penamatan mandat barisan pimpinan kini.

Bagi Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia, pertandingan  merebut kerusi timbalan presiden disandang Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bakal menjadi perhatian dengan Anwar dijangka kekal peneraju parti.

Katanya, perwakilan juga tertumpu kepada pertembungan naib presiden yang kini disandang Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

“Senarai itu akan menggambarkan pelapis kepimpinan masa depan PKR dan buka ruang pimpinan baharu,” katanya.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah pula menyifatkan gesaan Anwar supaya pemilihan diadakan segera bagi memastikan PKR terus berkembang dan berdaya saing dalam landskap politik semasa.

“PKR dapat memastikan kepimpinan parti sentiasa relevan dan responsif.

“Ini juga peluang pemimpin muda mengambil peranan lebih besar, pada masa sama menghargai pengalaman perjuangan pemimpin terdahulu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.