
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata platform dibangunkan hasil kerjasama antara badan bukan kerajaan (NGO) dan badan profesional itu menjadi ‘nilai tambah’ dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara bebas daripada sebarang amalan merokok menjelang tahun 2040.

“Setiap aduan kesalahan bersama bukti bergambar dan butiran lokasi kesalahan yang dimuat naik ke JomLapor tidak memerlukan identiti pengadu dan bersifat ‘anonymous’ bagi menjamin keselamatan pengguna,” katanya melancarkan portal terbabit.
Beliau berkata, aduan juga boleh dilakukan berkaitan kesalahan melibatkan akta lain seperti penjualan rokok tidak sah.
“Setiap aduan melalui JomLapor akan melibatkan kerjasama antara kementerian dan pihak berkuasa tempatan menerusi pendekatan ‘whole of government’.
“Orang ramai boleh menyemak status aduan dan tindakan yang telah diambil melalui laman sesawang ini,” katanya sambil menambah pelaporan kesalahan merokok di kawasan atau tempat larangan masih boleh dilakukan melalui saluran Whatsapp KKM.
Mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, sesiapa yang didapati merokok di kawasan larangan merokok boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara maksimum dua tahun, manakala pemilik perniagaan yang gagal mempamer papan tanda larangan merokok boleh didenda sehingga RM3,000 atau dipenjara sehingga enam bulan.
Seksyen 16 Akta 852 pula memperuntukkan individu merokok di kawasan larangan merokok boleh didenda tidak melebihi RM5,000.