Warga emas kena scam RM2 juta

Warga emas kena scam RM2 juta

Peniaga berusia 70 tahun itu sedar ditipu apabila tidak dapat keluar 'keuntungan' lebih RM6.2 juta.

Scammer-Hacker
Ketua Polis Johor M Kumar, berkata mangsa buat transaksi ke beberapa akaun bank antara November hingga awal bulan ini.
JOHOR BAHRU:
Pemilik kedai pakaian mengalami kerugian kira-kira RM2 juta selepas mendakwa terperdaya pelaburan saham dalam talian.

Ketua Polis Johor M Kumar, berkata lelaki warga emas berusia 70 tahun itu dimasukkan dalam satu kumpulan aplikasi WhatsApp, selepas tertarik dengan iklan pelaburan mata wang asing yang menjanjikan keuntungan lumayan.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya telah berurusan dengan ‘admin’ kumpulan itu bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Mangsa yang percaya dengan keuntungan segera dijanjikan kemudiannya telah membuat pembayaran berjumlah RM2,118,000 ke beberapa akaun bank yang diarahkan suspek antara November lepas hingga awal bulan ini.

“Selain itu, mangsa juga mengikut arahan suspek dengan memuat turun aplikasi yang diarahkan dan mendaftar akaun di aplikasi tersebut bagi memantau pelaburannya,” katanya dalam kenyataan.

Kumar berkata, setelah bayaran dibuat, mangsa melihat status pelaburannya di aplikasi yang didaftarkan itu mencatatkan keuntungan lebih RM6.2 juta.

Seterusnya, mangsa mahu menjual kembali saham tersebut tetapi tidak berjaya, malah wang hasil keuntungan pelaburan juga tidak dapat dikeluarkan dan dia percaya telah ditipu sebelum membuat laporan polis di Batu Pahat dekat sini semalam.

“Kes disiasat di bawah kesalahan tipu menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kumar menasihati orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang dilihat di media sosial serta dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.