Polis rekod RM7.9 juta kerugian jenayah komersial sehari

Polis rekod RM7.9 juta kerugian jenayah komersial sehari

Polis berkata 30,724 kes membabitkan keseluruhan kerugian RM2,774,320,430 dicatatkan dari Januari hingga 15 Dis lalu.

DATUK SERI RAMLI MOHAMED YOOSUF
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata 30,724 kes membabitkan kerugian RM2,774,320,430 direkod dari Januari hingga 15 Dis lalu, bersamaan purata 88 kes sehari. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis merekodkan nilai purata kerugian jenayah komersial kira-kira RM7.9 juta dalam sehari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata 30,724 kes membabitkan keseluruhan kerugian RM2,774,320,430 dicatatkan dari Januari hingga 15 Dis lalu.

“Jumlah kes ini bersamaan purata 88 kes sehari. Secara perbandingan, jumlah kes yang direkodkan setakat ini menurun 3% berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatat 31,588 kes.

“Nilai kerugian bagaimanapun menunjukkan trend berbeza dengan peningkatan 44% berbanding tahun lalu yang merekodkan jumlah kerugian RM1,924,424,513,” katanya menurut Bernama dalam sidang media di Ibu Pejabat JSJK di sini, semalam.

Beliau berkata, suspek dalam 45% atau 13,721 kertas siasatan didakwa di mahkamah setakat ini, lebih tinggi daripada 43% atau 13,450 kertas siasatan dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, penurunan kes jenayah komersial petanda positif kesedaran masyarakat dan pembanterasan serta pencegahan jenayah komersial akan terus dipertingkatkan untuk mencapai impak lebih optimum.

Dalam perkembangan lain, Ramli berkata, kes pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long mencatat peningkatan dalam empat tahun ini, iaitu 977 kes (2021), 989 kes (2022), 1,162 kes (2023) dan 981 kes (setakat November lalu).

Beliau berkata, seramai 4,737 individu yang melakukan pelbagai kesalahan berkaitan kegiatan ah long ditahan dalam tempoh empat tahun ini, iaitu 1,068 orang pada 2021, 1,272 orang (2022), 1,287 orang (2023) dan 1,110 orang (setakat November lalu).

Katanya, kajian menunjukkan majoriti peminjam mengetahui risikonya, tetapi masih memilih untuk meminjam atas desakan hidup, selain yakin dengan kemampuan diri untuk mematuhi semua syarat ditetapkan.

Bagaimanapun, menurutnya, mangsa akhirnya terperangkap dengan ancaman ah long dan faedah pinjaman tidak berkesudahan sebelum membuat laporan polis.

“Persoalannya, sehingga bilakah isu ah long ini akan berkesudahan? Jika polis melancarkan operasi membanteras ah long setiap hari, kegiatan ini tidak dapat dibanteras secara keseluruhannya kerana wujud permintaan masyarakat.

“Polis sudah mengingatkan agar tidak meminjam daripada ah long, namun tanpa kesedaran dalam kalangan masyarakat, ia tidak akan ke mana.

“Sekali lagi, saya ingatkan kepada masyarakat, jangan jadi peminjam ah long. Apa jua masalah atau desakan hidup, carilah jalan lebih selamat, seperti meminjam daripada institusi kewangan sah atau pemberi pinjaman wang berlesen. Jangan sesekali terjebak dalam perangkap ah long.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.