Laporan jawatankuasa Parlimen bukti saya cakap benar, kata Wan Saiful

Laporan jawatankuasa Parlimen bukti saya cakap benar, kata Wan Saiful

Ahli Parlimen Tasek Gelugor kecewa kenyataannya dalam prosiding Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat tidak didedahkan kepada umum.

Wan Saiful Wan Jan
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata beliau sama sekali tidak akan mengkhianati perjuangan, walaupun ditekan dan diancam atau cuba dirasuah dengan pelbagai habuan.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, berkata laporan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat yang mendapati beliau tidak mengelirukan dewan berkait dakwaan diugut dan ditawar ‘habuan’ untuk menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menunjukkan beliau bercakap benar.

Terdahulu, Speaker Johari Abdul menerusi laporan pada 12 Dis lalu berkata, jawatankuasa itu mendapati ada keterangan menunjukkan berlaku pertemuan didakwa Wan Saiful, termasuk tawaran melibatkan pengguguran pertuduhan, memberi imbuhan dan menanggung kos perubatan isteri, kos guaman dan peruntukan Parlimen.

Dalam laporan 12 muka surat itu, Wan Saiful dinasihatkan membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa berhubung dakwaannya selepas mendapati keterangannya mungkin melibatkan kesalahan jenayah yang memerlukan siasatan lanjut pihak berkuasa.

“Saya bercakap benar. Saya tidak akan sama sekali khianat perjuangan walau ditekan dan diancam dengan pelbagai tindakan oleh mereka yang zalim, atau cuba dirasuah dengan pelbagai habuan,” kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu dalam kenyataan.

Menurutnya, beliau dipanggil pada 6 Sept lalu untuk memberi keterangan dan membentangkan kronologi apa yang berlaku hampir 2 jam 30 minit.

“Sebagai bukti, saya turut mainkan rakaman audio dan saya tunjukkan gambar serta tangkap layar mesej WhatsApp. Saya juga berkongsi identiti individu-individu yang menemui saya.

“Bukti-bukti itu semuanya menunjukkan memang ada pihak bertemu saya dan memang ada tawaran dibuat.”

Bagaimanapun, beliau kecewa kenyataan itu tidak didedahkan kepada umum.

“Cuma saya terkilan kerana jawatankuasa tidak mengeluarkan hansard penuh ucapan saya hampir 2 jam 30 minit dalam prosiding Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

“Jika teks ucapan itu dikeluarkan sebagai hansard, maka semua bukti akan jadi rekod rasmi yang boleh dibaca sendiri oleh rakyat,” katanya.

Pada 24 Jun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul merujuk Wan Saiful ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan kenyataannya bahawa kes mahkamahnya boleh dimanipulasi untuk dibatal atau digugurkan.

Pada 22 Mac lalu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dr Zulkafperi Hanapi memfailkan usul merujuk Wan Saiful ke jawatankuasa berkenaan selepas pemimpin itu membuat sangkaan jahat terhadapnya dengan mendakwa dirinya “ejen” yang memujuk dan menyogok Ahli Parlimen Perikatan Nasional untuk menyokong kerajaan.

Sehari sebelum itu, Wan Saiful mendakwa Zulkafperi dan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim bersama tiga lagi individu dikenali “Hasnan, Datuk Azman serta Datuk Rahim” membuat kacau ganggu dalam usaha mempengaruhi kelakuan serta sokongannya kepada kerajaan.

Wan Saiful kini berdepan tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan projek Jana Wibawa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada aktiviti haram 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.