Kerajaan antara 25 diarah fail pembelaan dalam saman Covid-19 RM60 juta

Kerajaan antara 25 diarah fail pembelaan dalam saman Covid-19 RM60 juta

Defendan lain termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menteri-menteri semasa dan terdahulu, KKM serta WHO.

vaksin
Lapan plaintif menyaman kerajaan persekutuan dan 24 pihak lain atas dakwaan komplikasi kesihatan dan kematian yang disebabkan oleh vaksinasi Covid-19.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi memerintahkan 25 defendan, termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kerajaan persekutuan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), memfailkan pembelaan selewat-lewatnya pada 20 Jan terhadap saman tindakan kelas oleh lapan plaintif berhubung dakwaan komplikasi kesihatan dan kematian akibat vaksinasi Covid-19.

Peguam Zainuddin Abu Bakar yang mewakili lapan plaintif berkata, Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan juga memberikan anak guamnya sehingga 20 Feb untuk menjawab pembelaan yang difailkan.

“Hakim menetapkan pengurusan kes pada 5 Feb untuk memantau perkembangan saman itu,” katanya kepada FMT.

Pengurusan kes pertama di hadapan Raja Ahmad telah diadakan pada Isnin.

Peguam Persekutuan Nuur Zul Izzati Zulkipli, yang mewakili kerajaan, mengesahkan arahan yang dikeluarkan hakim itu.

Saman RM60 juta itu, yang difailkan bulan lepas, turut menamakan Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, serta Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai defendan.

Defendan lain termasuk Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan menteri-menteri terdahulu, Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin; Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan pendahulunya, Hamzah Zainudin; serta Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan pendahulunya, Radzi Jidin.

Plaintif juga menamakan bekas ketua pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah serta bekas dan ketua polis negara semasa sebagai defendan.

Plaintif mendakwa, mereka terjejas teruk oleh ‘dasar kesihatan awam cuai dan salah’ yang mewajibkan vaksinasi pada kemuncak wabak Covid-19 empat tahun lepas.

Kumpulan plaintif termasuk anak kepada seorang lelaki yang meninggal dunia selepas menerima tiga dos vaksin; suami seorang wanita yang meninggal dunia selepas menerima dua dos; dan seorang pekerja pembersihan yang diserang angin ahmar, juga selepas menerima dua dos.

Plaintif keempat adalah seorang tukang urut yang mengalami kesan sampingan serius selepas menerima satu dos vaksin dan kini memerlukan kerusi roda untuk bergerak, manakala yang kelima adalah seorang suri rumah yang turut mengalami simptom serius selepas menerima dua dos.

Plaintif keenam adalah seorang pekerja Amanah Saham Nasional Bhd dan yang ketujuh, penyelia di sebuah gedung serbaneka di Mahkota Parade, Melaka. Kedua-duanya mendakwa didiskriminasi oleh majikan masing-masing kerana enggan menerima vaksin.

Plaintif kelapan ialah anak kepada seorang wanita yang meninggal dunia selepas mengalami masalah kesihatan yang teruk, termasuk kegagalan pernafasan yang membawa maut dan kemerosotan imuniti selepas menerima hanya satu dos vaksin.

Plaintif juga memohon deklarasi mahkamah antara lainnya bahawa virus Covid-19 adalah ‘buatan manusia’ dan ‘palsu’, serta penggunaan ubat-ubatan seperti Ivermectin dan Colchicine tanpa vaksin terlebih dahulu harus dibenarkan.

Mereka juga meminta mahkamah membatalkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan inisiatif lain yang serupa.

Plaintif juga mahu mahkamah memerintahkan Anwar dan kerajaannya menarik diri daripada WHO dan Forum Ekonomi Dunia, yang disifatkan sebagai ‘penjenayah terancang’ yang berpakat untuk merampas kedaulatan negara anggota mereka, termasuk Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.